ALOR SETAR - Usahawan yang menghadiahkan kereta Proton Persona kepada pasangan tular mengajak masyarakat untuk bersama-sama memberikan sokongan dan mendoakan kebahagiaan mereka yang selamat bergelar suami isteri pada petang Selasa.
Firdaus Shariffudin, 36, berkata, terdapat komen-komen negatif netizen di laman media sosial menyarankan beliau mengambil semula kereta tersebut kerana mendakwa pasangan itu telah menghilangkan diri sebelum ini.
Walau bagaimanapun, beliau berpendirian kereta tersebut perlu kekal diberikan kepada Mohd Azlan Ishak, 36, bagi kegunaan bayinya mendapatkan rawatan di hospital dan juga kegunaan harian keluarga tersebut.
"Komen negatif netizen di laman media sosial, ada baca tapi bila kita sudah bagi hadiah kita tidak boleh ambil balik sebab tujuan adalah untuk bantu.
"Saya ucapkan tahniah kepada Azlan dan isteri semoga bahagia hingga ke syurga. Jaga anak elok-elok kerana itu adalah anugerah ALLAH. Anugerah dan ujian ALLAH bagi untuk meneruskan hidup pada jalan yang betul. Ada sebab ALLAH bagi anak, bagi rezeki,” katanya pada Rabu.
Jelas usahawan itu lagi, apa yang dilakukan oleh Mohd Azlan dan isterinya, Nor Hidayu Halim, 34, adalah sejarah silam lalu dan kini berjaya diperbetulkan kembali hasil kerjasama dan perhatian pelbagai pihak.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan pasangan tular yang membawa anak kecil memakai alat pernafasan dengan menaiki motosikal selamat dinikahkan di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah, dekat sini.
Mohd Azlan dan Nor Hidayu Halim sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim selepas solat Asar dengan sekali lafaz.
Nor Hidayu yang memakai baju sedondon putih dengan Mohd Azlan menerima mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin emas.
Firdaus turut hadir ke Masjid Al Maarufi Seberang Kota untuk meraikan pasangan tersebut termasuk menyerahkan geran dan cukai jalan kereta Proton Persona yang dihadiahkan kepada keluarga itu sebelum ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!