Komik 'Wira Anti Rasuah' terap nilai integriti generasi cilik

Iklan
Azam Baki (tengah) bergambar pada Majlis Pra Pelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerangan Nilai Integriti (Anti Rasuah) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) melancarkan siri komik 'Wira Anti Rasuah' untuk terap nilai integriti generasi cilik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi komik ini ia secara tidak langsung mendedahkan amalan rasuah dan kesannya kepada masyarakat serta negara.

Iklan
Iklan

"Murid-murid sekolah di mana di peringkat inilah asas dalam membentuk masyarakat yang berintegriti, jujur dan tidak mengambil hak orang lain boleh diterapkan selaras dalam merealisasikan impian untuk melahirkan generasi Malaysia bebas rasuah,” katanya pada Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan ITBM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.

Prapelancaran projek penerbitan itu disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Azman Adnan.

Iklan

Beliau berkata, kerjasama strategik ini antara lain merangkumi usaha untuk memberi pendedahan terhadap gejala rasuah dan salah guna kuasa melalui penerbitan komik, memupuk kesedaran bahaya amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Tambah Azam, dengan hasil penerbitan yang disusuli program dan aktiviti yang melibatkan penyertaan murid sekolah, usaha ini jelas sekali dilaksanakan secara serius serta berterusan untuk membina impak yang besar kepada inisiatif untuk menerapkan nilai integriti.

Iklan

"Projek kerjasama antara ITBM, SPRM dan Kementerian Pendidikan dalam menerbitkan bahan bacaan seperti komik dan video animasi seperti program hari ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada murid-murid,” katanya.

Sementara itu, ITBM dalam kenyataannya memaklumkan, usaha sama ini selari dengan strategi pendidikan yang terkandung dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 bagi menangani punca rasuah bermula di peringkat sekolah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!