ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan modus operandi baharu yang menggunakan alat kawalan jauh untuk memindahkan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Simpang Empat, di sini, pada Rabu.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, taktik baharu untuk memindahkan minyak diesel dengan mudah terbabit dikesan dalam serbuan dilakukan anggota penguat kuasa KPDN Kedah kira-kira jam 10.45 pagi.
Beliau berkata, KPDN Kedah melakukan risikan selama dua minggu sebelum melakukan serbuan di stor yang dijadikan transit terbabit.
"Bagaimanapun, tiada pemilik ditemui di premis tersebut ketika serbuan dilakukan dan pemeriksaan lanjut telah menemui sejumlah minyak diesel yang disimpan di premis tersebut tanpa lesen atau permit yang sah.
"Siasatan mendapati modus operandi digunakan adalah sebuah lori bonded yang telah diubahsuai dengan tangki jenis Intermediate Bulk Containers (IBC) bagi mengutip minyak diesel bersubsidi dari stesen-stesen minyak sekitar Alor Setar," katanya kepada pemberita pada sidang media di stor pada Rabu.
Muhammad Nizam menambah, minyak diesel itu kemudiannya akan dibawa ke stor tidak bernombor terbabit untuk proses pemindahan.
"Kita syaki alat kawalan jauh turut digunakan untuk memudahkan urusan pemindahan minyak diesel menggunakan pam diubah suai ke dalam tangki IBC," katanya.
Sehubungan itu, sejumlah 5,100 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM10,965 disita.
Muhammad Nizam berkata, sebuah lori, 10 unit tangki IBC dan peralatan yang digunakan memindah barang kawalan tersebut turut disita untuk tindakan lanjut.
Beliau memaklumkan, jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM30,765 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!