NILAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberi kelulusan serta-merta Kad Diskaun Khas Menu Rahmah kepada 2,800 peniaga yang telah pun berdaftar dengan kementerian itu sebelum ini.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pihaknya akui berlaku kelewatan dalam proses ditetapkan, namun bersedia menambah baik prosedur tersebut.
"Jika peniaga bersungguh-sungguh nak tawarkan Menu Rahmah untuk tolong rakyat, maka kami di KPDN akan sungguh-sungguh bantu mereka sebaik mungkin.
"Sebelum ini, kita letakkan syarat untuk naziran dan itulah yang mengambil masa. Akan tetapi seramai 2,800 peniaga yang sudah pun tawarkan Menu Rahmah sebelum ini, kita akan beri kad diskaun itu secara automatik," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada sesi penyerahan kad diskaun tersebut di sebuah gerai di Taman Desa Anggerik di sini pada Rabu.
Menurut Fuziah, proses permohonan baharu juga akan lebih dipercepatkan bagi menggalakkan lebih ramai peniaga yang menawarkan menu terbabit.
Jelas beliau, meskipun hanya menawarkan satu Menu Rahmah, peniaga boleh membuat permohonan mendapatkan kad diskaun berkenaan.
"Kita berhasrat setiap satu premis ada satu Menu Rahmah. Kalau dia tawarkan 10 menu misalnya, kita galakkan dia tawarkan satu Menu Rahmah.
"Itulah kempen yang kita sedang mulakan dan saya harap ramailah yang menyahut seruan ini. Dengan kad diskaun ini, mereka lebih untung bagi pandangan saya kerana boleh gunakan untuk menu-menu lain," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!