KUALA LUMPUR - Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Kasih Tyzo (Kasih Tyzo) bagi menyediakan sarapan pagi kepada 98 pelajar daripada keluarga tidak berkemampuan.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, projek yang akan bermula pada sesi persekolahan minggu depan itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Dharma, Jalan Klang Lama di ibu negara.
"Selain projek Sarapan Pagi Kasih Tyzo, kita juga melaksanakan beberapa lagi program yang akan dikenal pasti terutama melibatkan pelajar miskin bandar melalui penyediaan bantuan pendidikan, pemakanan dan kesihatan.
"Fokus kita lebih kepada anak-anak daripada keluarga kurang bernasib baik. Menerusi kerjasama ini, Pertubuhan Kasih Tyzo akan mengenal pasti sekolah yang ada pelajar miskin bandar dan MyCARE pula gunakan kepakaran untuk mengumpul dana bagi membantu mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani MoU antara kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) itu di sini pada Rabu.
Menurut beliau, projek Sarapan Pagi Kasih Tyzo berlangsung selama dua tahun dan akan diperluaskan ke beberapa sekolah lain.
Justeru pihaknya mengalu-alukan penyertaan daripada pelbagai pihak untuk turut serta menjayakan projek sedemikian pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kasih Tyzo, Tuah Zolqarnain Idris atau lebih dikenali sebagai Tyzo Xander berkata, projek rintis itu bertujuan membantu golongan sasaran untuk mendapatkan khasiat kesihatan menerusi pemakanan harian.
Menurut penyampai radio IKIMfm itu, pelajar terpilih berdasarkan saringan oleh pihak pengurusan sekolah iaitu pendapatan keluarga kurang daripada RM2,000.
"Memandangkan pertubuhan ini masih baru, kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan MyCARE bagi menggerakkan misi seumpama ini.
"Saya juga berharap projek ini dapat diperluaskan ke sekolah lain agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!