SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) sebagai syarikat pengendali perkhidmatan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) dilakukan secara rundingan.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, syarikat itu dan sebuah syarikat lagi iaitu Badan Bas Coach Sdn Bhd dilantik berdasarkan kelulusan Proof of Concept (POC) secara proses Request-for-Proposal (RfP).
Menurut beliau, hanya dua syarikat yang diberikan lesen untuk menyertai POC oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Beliau memberitahu, tugas APAD adalah untuk menetapkan syarat dan garis panduan supaya syarikat yang menyertai POC ini menepati beberapa piawaian ditetapkan.
"Antara piawaian itu seperti mempunyai armada bas mini atau pun van sendiri, had usia kenderaan tidak melebihi 10 tahun, pemandu mempunyai lesen kelas D yang sah serta bebas daripada senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.
"Kesemua syarat termasuk yang di atas perlu dipatuhi sebelum APAD melesenkan kepada mana-mana syarikat," jelas beliau.
Sehubungan itu, Sze Han memberitahu, berdasarkan maklumat itu, jawatankuasa ditubuhkan oleh kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melibatkan kedua-dua syarikat dalam proses POC secara sama rata supaya satu syarikat tidak memonopoli proses pengujian dan warga Selangor dapat menilai keberkesanan, keselesaan serta tahap efektif perkhidmatan disediakan.
Beliau berkata, lesen POC yang diberikan oleh APAD kepada kedua-dua syarikat terbabit hanya sah sehingga 31 Ogos depan dan bukannya untuk tempoh berpuluh tahun atau tidak diperbaharui secara automatik.
"Itu menjadi asas kepada keputusan jawatankuasa kerajaan negeri yang menetapkan bahawa tempoh POC ini adalah hanya selama tempoh sembilan bulan, iaitu dari November tahun lalu dan akan tamat pada Julai 2024.
"Ini bermaksud tempoh POC akan tamat sebelum lesen yang diberikan oleh APAD kepada kedua-dua syarikat ini tamat tempohnya," ujarnya.
Mengulas mengenai pelantikan Asia Mobility yang dimiliki dan diuruskan oleh suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Sze Han berkata, penilaian oleh Jawatankuasa dibuat berdasarkan kemampuan syarikat yang telah melepasi saringan awal oleh APAD dan kemudiannya diberikan kelulusan menyertai POC.
Dalam pada itu, Sze Han berkata, sebuah lagi syarikat, Badan Bas milik tokoh perniagaan Melayu, Tan Sri Nadzmi Mohd Salleh yang mempunyai pengalaman dalam industri ini turut diberikan peluang sama untuk menyediakan perkhidmatan van dan bas mini kepada warga Selangor pada harga serta
kos berpatutan.
"Sehubungan itu, pada awal bulan ini, kerajaan negeri telah menerima cadangan daripada satu lagi syarikat yang berhasrat terlibat sama dalam proses POC, iaitu Kumpool Sdn Bhd yang telah menerima kelulusan daripada APAD," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu sedang dinilai supaya dapat dilibatkan dalam fasa berikutnya.
"Kerajaan negeri yakin bahawa proses penilaian RfP dan keputusan melibatkan syarikat-syarikat ini dilaksanakan dengan hemat dan asas yang kukuh serta menepati syarat serta garis panduan undang-undang sedia ada.
"Pentadbiran ini juga bersedia membentangkan keseluruhan proses penilaian ini kepada pihak berkuasa sebagai komitmen ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan negeri terutamanya dalam perkara yang melibatkan perbelanjaan peruntukan negeri," katanya.
Menurut Sze Han, sejak tempoh POC bermula, seramai 40,674 warga Selangor telah memanfaatkan perkhidmatan 'bus on demand' di kesemua lapan laluan, iaitu empat laluan yang dioperasikan oleh Asia Mobility di Ampang, Hulu Kelang, Puchong, UPM-Serdang manakala empat lagi laluan oleh Badan Bas iaitu Subang Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan dan Sungai Buloh.
Beliau menjelaskan, peruntukan yang disalurkan kepada kedua-dua syarikat untuk memberikan subsidi kepada setiap pengguna yang menaiki bus on demand adalah sama rata, iaitu RM2.1 juta sepanjang tempoh POC.
"Bayaran ini tidak disalurkan secara sekali gus tetapi secara berperingkat melalui tiga fasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan peruntukan negeri.
"Kos yang dianggarkan bagi setiap pengguna bagi setiap perjalanan adalah RM5 tetapi bagi menggalakkan lebih ramai warga Selangor menggunakan perkhidmatan awam, kerajaan negeri menanggung kos RM3 bagi setiap penumpang dan mereka hanya perlu membayar RM2 setiap kali menggunakan perkhidmatan ini," jelasnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kerajaan Selangor digesa menarik semula keputusan Asia Mobility sebagai syarikat pengendali DRT di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, kerajaan negeri perlu menghentikan pelantikan Asia Mobility kerana ia secara jelas dimiliki dan diuruskan oleh suami kepada Hannah.
Pada 27 Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kontrak yang diterima oleh suami Hannah daripada kerajaan Selangor tidak mengandungi sebarang kesalahan kerana tender itu diberikan oleh satu entiti lain yang tidak mempunyai kaitan dengan tugas dan tanggungjawab Hannah.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kuasa kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan isu pemberian kontrak DRT oleh Kerajaan Selangor.
Anwar menegaskan, sekiranya ada laporan, pihak bertanggungjawab perlu bersikap telus dalam proses siasatan.
Sebelum itu, pengguna aplikasi X @RakyatAduan mempersoal mengenai pelantikan Asia Mobility dalam projek DRT di Selangor.
Ia susulan dakwaan syarikat itu dimiliki suami Hannah selain persoalan sama ada pelantikan syarikat itu dilakukan sebagai tender terbuka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!