Tiga beranak guna hadiah haji RM118,622 taja 16 OKU tunai umrah

Iklan
Noor Hazama bersama dua anaknya menggunakan hadiah cabutan bertuah yang dimenangi untuk menaja sekumpulan jemaah OKU menunaikan umrah.

SHAH ALAM - Bagi merebut 'saham akhirat', tiga beranak bermurah hati menggunakan hadiah cabutan bertuah menunaikan ibadah haji berjumlah RM118,622 yang dimenangi untuk menaja sekumpulan orang kurang upaya (OKU) menunaikan umrah ketika musim haji.

Hadiah cabutan bertuah itu dimenangi seorang ibu, Noor Hazama Fadhilah Abdullah, 55, bersama dua anaknya, Luqman Irfan Muhamad Suhaeri, 26, dan Luqman Syafiq Muhamad Suhaeri, 24, selepas mendaftar pakej haji tahun ini bersama syarikat pengendali umrah dan haji, MKM Ticketing Travel & Tours (MKM).

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Strategik MKM, Dr Abdul Hadi Abdul Raman berkata, menerusi cabutan yang dibuat, Noor Hazama dari Shah Alam bertuah merangkul hadiah berupa wang perbelanjaan haji bernilai RM18,622 manakala kedua-dua anak lelakinya meraih hadiah cabutan utama pakej haji yang masing-masing bernilai RM50,000.

Katanya, tiga beranak berkenaan memutuskan untuk mengerjakan ibadah haji dengan wang dan perbelanjaan sendiri sepenuhnya.

Iklan

"Hadiah sebegini sememangnya diimpikan ramai namun apa yang luar biasanya, mereka bertiga buat keputusan untuk tidak ambil hadiah yang diterima sebaliknya minta hadiah itu digunakan untuk taja kumpulan OKU mengerjakan umrah menerusi Pakej Umrah Musim Haji MKM.

"Jadi dengan jumlah hadiah yang dimenangi berkenaan, mereka menaja seramai 16 OKU termasuk dua pengiring. Jemaah umrah ini dijadualkan menaiki penerbangan pada 7 Julai nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

MKM sebelum ini menawarkan hadiah tiga cabutan utama pakej haji bernilai RM50,000 dan lima hadiah wang perbelanjaan haji bernilai RM18,662 kepada kepada orang ramai yang telah menerima panggilan menunaikan ibadah tersebut daripada Lembaga Tabung Haji (TH) dan mendaftar untuk mengerjakannya dengan MKM.

Pendaftaran mula dibuka sejak Januari lalu sebelum sesi cabutan dibuat pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Intensif Haji MKM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, pada 13 Mei lalu.

Bercerita lanjut, Abdul Hadi berkata, pada awalnya Noor Hazama mendaftar untuk menunaikan haji bersama suami dan tiga anaknya termasuk seorang anak OKU perempuan pada 20 Januari lalu.

Bagaimanapun selepas perbincangan secara terperinci dilakukan mengambil kira semua sudut, wanita tersebut memutuskan untuk tidak meneruskan hasratnya menunaikan haji kerana mahu menjaga anak perempuannya yang kesihatannya semakin merosot.

"Jadi yang pergi cuma suami dan dua anak lelaki mereka yang masih belajar selain pakcik Noor Hazama turut mendaftar untuk pakej haji menerusi visa furada.

"Tidak lama selepas itu, ketika pihak kami buat susulan untuk pengesahan pendaftaran, dimaklumkan anak perempuan mereka meninggal dunia. Selepas beberapa minggu, Noor Hazama datang ke pejabat kami dan daftar semula untuk tunai haji," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!