BALU Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Ina Naim mendedahkan sudah empat kali 'bertemu' suami kesayangannya itu dalam mimpi.
Jelas Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim, 40, menerusi penstriman langsung, mimpi itu tidak sama sekali membuatkan bersedih, sebaliknya tersenyum seolah-olah baharu bertemu kekasih hatinya.
"Saya ada bermimpi arwah. Saya mimpi tentang arwah sebanyak tiga atau empat kali. Semuanya dalam keadaan yang sama iaitu di meja makan. Ada air (terhidang) kemudian arwah tundukkan muka dan senyum.
"Mukanya sangat bersih, putih bercahaya. Pada pipinya, timbul urat-urat warna hijau.
"Saya rasa arwah sangat selesa di sana. Apabila terjaga dari tidur, saya akan bacakan doa untuk hilangkan rasa rindu," katanya sambil tersenyum.
Setiap kali mimpi itu tiba, penyanyi lagu Duhai Hati itu akan menitipkan doa buat roh Allahyarham.
Sekadar info, Suhaimi Saad telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 15 November tahun lalu di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru akibat masalah kesihatan yang menyebabkan organ dalamannya tidak berfungsi.
Suhaimi dan Ina mendirikan rumah tangga pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Dalam live terakhir, Suhaimi yang merupakan graduan jurusan Bahasa Arab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sempat berpesan agar sentiasa menunaikan solat berjemaah susulan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!