Jeti hanyut, AS tangguh bantuan dari koridor maritim

Iklan
Unit infantri Pasukan Pertahanan Israel (IDF) terlibat operasi di Genting Gaza. - Foto AFP

WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) menangguhkan penghantaran bantuan ke Genting Gaza melalui koridor maritim, menurut Pentagon pada Selasa.

Keputusan itu dibuat selepas jeti terapung yang dibina Washington musnah akibat cuaca buruk pada akhir minggu lalu.

Iklan
Iklan

Timbalan Setiausaha Media Pentagon, Sabrina Singh berkata, gelombang kuat dan sistem cuaca Afrika Utara telah menyebabkan sebahagian daripada platform hanyut ke lokasi lain.

"Usaha pembaikan semula jeti itu dijangka mengambil masa lebih seminggu sebelum dibawa semula ke pantai Gaza,” katanya.

Iklan

Difahamkan, kerosakan itu berlaku kira-kira dua minggu selepas pembukaan platform yang bertujuan untuk membawa lebih banyak bantuan kemanusiaan ke enklaf itu.

Laporan Pusat Perintah AS (CENTCOM) mendapati kira-kira 1,005 tan metrik bantuan kemanusiaan telah dihantar melalui koridor maritim tersebut.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, misi bantuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiba di utara Genting Gaza buat pertama kali dalam tempoh lebih dua minggu.

Ketua agensi itu, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu mengesahkan ia melibatkan penghantaran bahan api, katil hospital, bekalan ubat-ubatan dan peralatan kepada Hospital al-Ahli.

"Meskipun kempen serangan makin ganas, @WHO dan rakan kongsi kami berjaya tiba di al-Ahli di #Gaza City. Misi pertama ke utara Gaza sejak 13 Mei lalu,” ujarnya menerusi platform X.

Menurutnya, bekalan itu dapat menampung keperluan kira-kira 1,500 penduduk di kawasan itu.

Tedros juga memaklumkan WHO sedang cuba menempatkan pasukan perubatan kecemasan untuk membantu staf di sana setelah lima buah ambulans dihantar di bawah misi tersebut. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!