JAWATANKUASA Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap isu 'surat layang' dapat diselesaikan segera selepas siasatan terhadap dua dakwaan salah guna kuasa melibatkan badan induk itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Malah menurut pengerusinya, Tan Sri Aseh Che Mat perkara tersebut yang timbul pada hujung Mac lalu, perlu diselesaikan bagi memulihkan kredibiliti badan induk bola sepak negara itu.
Katanya, secara tidak langsung akan dapat mengembalikan keyakinan semua pemegang taruh FAM sebagai badan induk bola sepak negara.
"Jawatankuasa Integriti FAM telah mengadakan perbincangan dan menyerahkan perkara tersebut pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan.
"Siasatan merangkumi dakwaan salah guna kuasa dalam pemberian tender projek Pusat Latihan Kebangsaan di Putrajaya bernilai RM25 juta dan isu tomahan penyalahgunaan wang bagi penganjuran Kongres FAM ke-60.
"Siasatan ke atas kedua-dua isu berkenaan pun telah selesai dan dirujuk kepada pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) yang berpuas hati dengan hasil siasatan SPRM dan memutuskan kes diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut),” katanya pada sidang akhbar selepas Seminar Integriti FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.
Sebelum ini tular di media sosial 'surat layang' dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM.
Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu melibatkan skuad Harimau Malaya dan projek NTC.
Pada masa sama, Aseh berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah memanggil petugas dan bekas staf FAM sejak beberapa minggu kebelakangan ini bagi membantu siasatan berhubung isu 'surat layang' itu dan siasatan polis berhubung perkara itu masih berjalan.
Dalam pada itu, Aseh berkata FAM juga mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Presiden FAM Datuk S Sivasundaram bagi tujuan menambah baik urus tadbir serta pengurusan itu badan induk tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!