BRUSSELS - Kes batuk kokol atau pertussis dilaporkan meningkat seluruh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Pakar bagaimanapun tidak jelas bagaimana ia berlaku dan masih menjadi misteri sehingga kini.
Pada musim sejuk 2023, pakar kesihatan di seluruh benua Eropah mula menyedari sesuatu yang pelik setelah lonjakan luar biasa melibatkan kes batuk kokol.
AS dikatakan turut berdepan situasi sama setelah Britain merekodkan jumlah kes ke tahap tertinggi dalam tempoh dua dekad.
Menjelang Mac 2024, kes terus melonjak di rantau tersebut berbanding sedekad lalu meskipun Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) tidak mengeluarkan angka sebelum 2011.
Antara Januari dan Mac 2024, kira-kira 32,000 kes telah dilaporkan di seluruh rantau berkenaan.
Menurut ECDC, purata tahunan kes pertussis di Eropah adalah kira-kira 38,000 kes dan jika trend itu berterusan, batuk kokol boleh meningkat sehingga 10 kali ganda pada 2024 berbanding tahun biasa.Laporan pihak berkuasa kesihatan itu juga mendapati majoriti kes berlaku pada bayi dan penyakit itu berisiko membawa maut kepada golongan berkenaan manakala kumpulan kedua tertinggi diserang penyakit tersebut adalah mereka yang berumur 10-14 tahun.
Profesor perubatan, Paul Hunter di University of East Anglia di Britain berpendapat angka itu perlu ditafsirkan dengan berhati-hati.
"Kes sebenar dipercayai jauh lebih tinggi berbanding yang dilaporkan kerana mungkin terdapat populasi lebih tua yang tidak didiagnos batuk kokol,” ujarnya.
Lonjakan kes itu juga dikaitkan dengan penurunan imuniti dalam kalangan penduduk sejak pandemik Covid-19 melanda dunia pada awal 2020.
Sejak langkah pelonggaran sekatan Covid-19 dibuat, kes penyakit seperti pertussis mungkin telah meningkat secara tidak sedar.
"Tetapi, lonjakan dramatik tersebut tidak dapat dijelaskan secara terperinci. Hal ini kerana, batuk kokol tidak dikesan dalam kalangan populasi pada kadar yang tinggi sebelum pandemik Covid-19.
"Ia jarang berlaku dan tidak seperti selesema yang meningkat dua kali ganda sejak penularan Covid-19. Ia juga tidak menyaksikan peningkatan sehingga 10 kali ganda seperti pertussis,” jelasnya.
KADAR VAKSINASI MENURUN
Bagaimana kes itu melonjak terus mencetuskan tanda tanya dan pakar percaya ia mungkin berpunca daripada pelbagai faktor.
Salah satunya adalah disebabkan penurunan kadar pengambilan vaksinasi pertussis dalam kalangan ibu hamil di seluruh Eropah.
"Bayi tidak dilindungi jika ibu gagal mendapatkan vaksin. Ada yang memberi suntikan vaksin ketika bayi mereka berusia kira-kira lapan minggu sedangkan penyakit boleh menyerang sebelum tempoh tersebut,” kata Hunter lagi.
Data dikeluarkan ECDC pada Mei menunjukkan kadar vaksinasi pertussis adalah berbeza di seluruh rantau berkenaan.
Sebagai contoh, di Sepanyol, kira-kira 88 peratus ibu hamil mendapatkan vaksinasi pertussis pada 2023 manakala di Republik Czech yang menyaksikan lonjakan kes batuk kokol hanya 1.6 peratus menerima inokulasi pada tahun sama.
Di Britain pula, pengambilan imunisasi dalam kalangan ibu hamil telah menurun sejak sedekad lalu daripada kira-kira 70 peratus (2016) kepada 60 peratus (2023).
Difahamkan, vaksin pertussis pertama diperkenalkan pada pertengahan abad ke-20 di negara membangun seperti AS, Kanada dan beberapa bahagian di Eropah.
Kesan sampingannya telah menyebabkan penurunan mendadak hingga mencetuskan wabak pada 1970-an dan 80-an.
Menjelang akhir 1990-an dan awal 2000, vaksin batuk kokol generasi kedua mula dihasilkan dan dikatakan kurang efektif dan hanya memberikan perlindungan untuk tempoh masa singkat meskipun tidak memberikan kesan sampingan seperti versi pertama. - Agensi
INFO
>Pada peringkat awal, batuk kokol muncul seperti selesema. Pesakit mungkin mengalami hidung berair, demam, bersin dan batuk sekali-sekala. Selepas beberapa minggu diserang pertussis, batuk yang lebih teruk pula akan menyusul dan ia paling teruk dalam kalangan kanak-kanak dan bayi. Peringkat ini boleh berlarutan selama 10 minggu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!