PT Athletic FC (PAFC), kelab baharu yang diperkuatkan tonggak berpengalaman Liga Super menyifatkan status tersebut bukan satu jaminan pasukan itu akan berdepan laluan mudah saingan di pentas Liga A1 Semi-Pro 2024/25.
Sebaliknya, pengendali PAFC, Nazrulerwan Makmor yang melihat Imigresen FC, Kuala Lumpur Rovers, Harini Selangor FT antara pasukan pilihan mencabar kejuaraan, menegaskan keserasian dalam membentuk gandingan senior dan baharu merupakan elemen penting dalam menyokong kekuatan prestasi pasukan musim ini.
Iklan
Iklan
"Putrajaya kelab yang baharu ditubuhkan, kebanyakan orang bercakap mengenai PAFC, dengan keadaan sekarang pemain berpengalaman Liga Super dan baharu, dari situ kita gabungan pemain-pemain.
"Kita juga memahami dalam bola sepak kita tidak boleh mengharapkan kepada status pemain sahaja tetapi yang paling penting keberkesanan gandingan yang dijelmakan dalam padang.
"Ini yang kita terapkan supaya kelab lebih profesional, secara dasarnya pengurusan meletakkan sasaran ke Liga Super 2025/26 tetapi saya sebagai jurulatih lebih realistik berada dalam kelompok lima terbaik musim pertama kelab dalam kejuaraan ini,” katanya yang mengakui Liga A1 Semi-Pro pentas pasukan amatur menambah baik sebagai persediaan ke Liga Super.
Sebagai rekod, saingan PAFC musim ini diperkuatkan Syazwan Zainon, Mohd Fandi Othman, Adib Zainudin, Indra Putra Mahyuddin, Mohd Amri Yahya, Muhammad Azarul Nazarith Azhar, Muhammad Qayyum Marjoni Sabil, Muhammad Yusri Yuhasmadi, Abdul Latiff Suhaimi, Dirga Surdi, S Veenod dan Nurshamil Abd Ghani.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!