SHAH ALAM - Transformasi kaedah pengajaran subjek Sains dan Matematik yang lebih menarik dan menyeronokkan perlu dilaksanakan bermula peringkat sekolah rendah demi menarik minat pelajar memilih aliran Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya sains tulen pada masa depan.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, langkah tersebut perlu dibuat melibatkan guru-guru yang lebih mahir demi memastikan peratusan pelajar memilih aliran sains tulen tidak terus merosot.
Menurutnya, sekiranya usaha tersebut tidak diberi perhatian, dikhuatiri akan menjejaskan sumber tenaga kerja mahir tempatan yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara akan datang.
"Aktiviti menarik dan menyeronokkan di dalam kelas akan meningkatkan motivasi murid. Jadi bila mereka rasa Sains dan Matematik adalah subjek yang menarik barulah dorong minat murid.
Mengulas lanjut, Anuar menyifatkan negara kini sedang berdepan krisis tenaga manusia dalam bidang sains yang akan menyebabkan Malaysia perlu bergantung kepada graduan sains tulen asing dalam pekerjaan bidang tersebut pada masa depan.
Katanya, perkara yang menjadi isu ketika ini adalah kemerosotan murid dalam aliran sains tulen yang mengambil subjek Matematik Tambahan, Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Moden, sedangkan bidang STEM lain seperti vokasional didapati meningkat.
"Sekarang ini kita sedang berhadapan dengan kumpulan pekerja asing sebagai pekerja bawahan. Tetapi pada masa depan, jika jumlah graduan kita dalam bidang aliran sains ini tidak ramai dan apabila berlaku pelaburan berskala besar, syarikat-syarikat ini terpaksa mengambil pekerja asing daripada graduan aliran sains.
"Peluang pekerjaan itu sepatutnya untuk anak-anak kita. Tetapi disebabkan mereka tidak berada dalam aliran atau kemahiran yang diperlukan oleh syarikat, mereka hilang peluang itu,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!