SHAH ALAM - Universiti di negara ini bersedia melahirkan graduan berteknologi tinggi apabila Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menawarkan tiga program baharu Ijazah Sarjana Muda Teknologi dengan kepujian pada tahun ini bagi memenuhi acuan permintaan dan keperluan industri dunia dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, program baharu tersebut ialah Sarjana Muda Teknologi Internet of Things (IOT) dengan kepujian, Sarjana Muda Teknologi Telekomunikasi dengan kepujian serta Sarjana Muda Teknologi Pengkomputeran Awan dan Aplikasi dengan kepujian.
Katanya, ini merupakan peluang keemasan bagi mereka berminat melanjutkan pengajian dalam bidang TVET aras tinggi yang terus menjadi buruan industri dalam dan luar negara.
"Kita membuka peluang ini kepada calon-calon lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) bagi memohon tempat mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UTeM.
"Ketiga-tiga program ini memulakan siri pengajian bermula pada kemasukan pelajar baharu untuk Semester 1 (Oktober) Sesi 2024/2025 ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Tambah Massila, tempoh pengajian bagi program berkenaan hanya tiga tahun iaitu dua tahun setengah pengajian di kampus manakala baki setengah tahun lagi adalah di industri.
Ia berbeza dengan program Sarjana Muda Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan yang mengambil masa pengajian selama empat tahun.
Mengulas mengenai corak acuan sukatan mata pelajaran ketiga-tiga program berkenaan, beliau menjelaskan ia berteraskan kerjasama dengan ZTE Education China di mana negara Tanah Besar itu kini sedang rancak dengan pertumbuhan arus kemodenan teknologi dunia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!