PENYANYI lagu 'Bea sobar bea, Bea rilek bea, Jange jange wi jadi gegey' atau Cinta Setandang Pisang, Eda Ezrin mengakui Kerajaan Kelantan tidak pernah menyekatnya untuk meneruskan kerjaya seni di negeri ini.
Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, berkata, walaupun penyanyi wanita dilarang membuat persembahan di depan khalayak umum namun rezeki buatnya tetap ada.
"Saya masih boleh meneruskan kerjaya seni dan peraturan sedia ada di negeri ini tidak mengganggu.
"Saya boleh menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan karya-karya terbaharu. Jadi tidak timbul isu berkait dengan peraturan sedia ada yang dikuatkuasakan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut Eda Ezrin, beliau menghormati peraturan yang telah diwujudkan oleh kerajaan negeri sejak sekian lama itu.
Ujarnya, sejak lagu Cinta Setandang Pisang 'meletup' beliau tidak menang tangan membuat persembahan di luar Kelantan termasuk mempromosikan produk usahawan tempatan.
Dalam perkembangan lain, Eda Ezrin memberitahu, buah tangan terbaharunya iaitu duet bersama Man Khan menerusi lagu Cocok Menike sudah melepasi 40,000 tontonan sejak dilancarkan pada Isnin.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!