PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan terpaksa berdepan tindakan agresif nelayan asing Vietnam bagi mempertahankan hasil laut negara daripada 'dirompak' oleh sekumpulan mereka yang tidak bertanggunjawab pada Ahad.
Tindakan melakukan himpitan dan 'force boarding' berjaya merampas 7,000 kilogram (kg) hasil tangkapan ikan dalam operasi sekitar jam 10 hingga 10.30 pagi pada kedudukan lebih kurang 130 batu nautika daripada muara Tok Bali di sini.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Erwan Shah Soahdi berkata, pihaknya berjaya menahan dua buah bot serta 21 nelayan asing Vietnam termasuk tekong yang berusia 16 hingga 67 tahun.
"Kami turut merampas 2,500 liter diesel serta peralatan menangkap ikan, navigasi serta komunikasi dan dianggarkan berjumlah RM3.3 juta.
"Untuk kes ini kami mengambil masa hampir 40 jam untuk mengiringi kesemua bot tahanan ke jeti Maritim Malaysia Kelantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Menurut beliau, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (C) Akta Perikanan dan Sesyen 16 (3) Akta Perikanan.
Ujarnya, Maritim Malaysia Kelantan akan terus komited dan agresif dalam memerangi kes pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
Sementara itu Erwan Shah memberitahu, bermula Januari hingga kini pihaknya telah merampas 12 buah bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh masuk ke negara ini.
Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM15.4 juta.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!