JASIN - Seorang penunggang motosikal maut manakala empat yang lain cedera selepas dipercayai terlanggar serpihan tayar lori di Kilometer 190.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, pada awal pagi Khamis.
Dalam kejadian lebih kurang jam 2 pagi, mangsa Mohd Afirzul Hamzah, 35, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kesemua mangsa berkonvoi dari arah Simpang Ampat, Melaka menghala ke Johor.
Menurutnya, namun setiba di lokasi kejadian, salah seorang mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai melanggar objek di atas jalan lalu hilang kawalan sebelum kesemua mereka terjatuh.
"Kumpulan konvoi dipercayai dari Johor itu baharu berhenti menjamu selera di Simpang Ampat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Johor.
"Akibat kejadian itu mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Jasin bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Jelasnya, salah seorang mangsa yang merupakan pelajar, Zakrul Ariffin ditempatkan di zon merah manakala tiga yang lain mengalami patah bahu kanan, luka tangan dan kaki serta cedera pada kepala.
"Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin sebelum dituntut waris keluarga," katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!