JOHOR BAHRU - Penduduk sekitar Layang dan Simpang Renggam yang menangkap ikan kelisa dipercayai hanyut dari sebuah kolam takungan yang pecah perlu memulangkannya semula.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, tindakan mengambil ikan terbabit tidak wajar dan ia jelas milik individu dan sepatutnya dipulangkan kepada pemilik asal.
"Jika jelas ia milik orang lain dan kita tahu siapa pemiliknya, hendaklah kita pulangkan kepada pemilik.
"Itulah sebaik-baik akhlak seorang Muslim, malah semua agama mendidik kita agar tidak mengambil hak orang lain.
Namun Mohd Fared, menjelaskan situasi tidak sama sekiranya pemilik ikan memberi kebenaran atau menghalalkan kepada sesiapa untuk mengambil ikan tersebut.
Pada Rabu, media melaporkan ratusan ikan kelisa ditemukan dalam kawasan anak sungai dan parit sekitar kawasan Layang dan Simpang Renggam, sejak Selasa.
Ikan hiasan bersisik emas dan putih dalam anggaran berat dua kilogram dipercayai dihanyutkan dari kawasan kolam ternakan kawasan berdekatan.
Justeru penduduk sekitar tidak melepaskan peluang menangkap ikan terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!