'Kami reda, hasrat laksana badal haji untuk Allahyarham Muhammad Faisol'

Iklan
Noryani menunjukkan beliau bergambar sempena Aidilfitri bersama Muhammad Faisol (kanan) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung pada 23 April lalu. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian pada Khamis.

SIK - Keluarga kepada mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, bulan lalu menerima ketentuan Ilahi dan reda dengan laporan akhir siasatan yang dikeluarkan lembaga siasatan.

Noryani Tamadun, 50, berkata, keluarganya menerima dengan hati terbuka hasil laporan siasatan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut kakak sulung kepada Pegawai Waran II, Allahyarham Muhammad Faisol, 36, mereka sekeluarga menerima ketentuan qada dan qadar yang sudah tertulis untuk adik bongsunya itu.

"Kami terima keputusan laporan siasatan punca nahas (helikopter) hari ini, semuanya sudah berlaku dan kami reda.

Iklan

"Saya juga harap keluarga mangsa lain dapat menerima keputusan dengan baik dan bersabar," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Noryani turut memaklumkan, keluarganya kini dalam proses untuk melaksanakan badal haji untuk Allahyarham.

Iklan

"Itu hasrat keluarga, bagaimanapun hal berkenaan perlukan perbincangan lanjut bersama balu Allahyarham.

"Kubur arwah juga sudah dipasang batu nisan selepas dua minggu disemadikan, saya difahamkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula menyumbang kepok untuk dipasang di kubur Allahyarham," ujarnya lagi.

Berdasarkan laporan akhir Lembaga Siasatan nahas dua helikopter TLDM di Lumut pada 23 April lalu, merumuskan salah satu pesawat tidak berada pada haluan yang ditetapkan.

Lembaga Siasatan turut mendapati pesawat AS 555 SN Fennec tidak berada pada ketinggian ditetapkan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dilaporkan berkata, dapatan itu diperoleh selepas semakan rakaman video berdurasi tujuh saat mengenai kedudukan tujuh helikopter yang terbabit dalam raptai Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Laporan dikeluarkan selari dengan laporan awal yang dikeluarkan sebelum ini, yang menyatakan kesemua kru terbabit dalam insiden itu berada pada tahap kesihatan baik untuk mengendalikan pesawat selain tahap kelayakan penerbangan kru udara terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh, serta selamat untuk terbang.

Mengulas mengenai keadaan balu Allahyarham, Noryani memaklumkan, adik iparnya masih bersedih dan belum bersedia untuk berjumpa dengan pihak media.

"Memang ada (media) cuba hubungi dia untuk ditemu ramah, tetapi adik ipar saya belum bersedia, dia masih bersedih dan menolak permintaan itu dengan baik.

"Dia hanya minta media datang (temu ramah) saya, saya faham keadaan dia. Dalam masa terdekat ini, saya pun bercadang untuk jumpa dengan dia dan anak-anak sekiranya ada kesempatan," katanya lagi.

Allahyarham Muhammad Faisol meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan berusia enam dan 10 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!