Bantuan masuk ke Gaza merosot sejak Israel serang Rafah

Iklan
Sukarelawan mengagihkan makanan kepada kanak-kanak di Rafah.

KUALA LUMPUR - Jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki Semenanjung Gaza telah berkurangan sebanyak 67 peratus sejak Israel memulakan operasi ketenteraannya di Rafah pada 7 Mei, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).

"Jumlah makanan dan bantuan lain yang memasuki Gaza sudah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat dan telah berkurangan sejak 7 Mei dengan purata harian 58 trak bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza antara 7 Mei dan 28 Mei, berbanding purata harian 176 trak bantuan antara 1 April dan 6 Mei.

Iklan
Iklan

"Angka-angka ini tidak termasuk kargo dan bahan api sektor swasta," katanya dalam kemas kini mengenai Tebing Barat yang diterbitkan pada Rabu.

OCHA melaporkan bahawa tiada bantuan memasuki Gaza pada 27 dan 28 Mei melalui jeti sementara yang dibina oleh tentera Amerika Syarikat selepas satu bahagian kemudahan itu rosak akibat cuaca buruk.

Iklan

Sejak ia mula beroperasi pada 17 Mei, agensi itu berkata, 137 trak muatan bekalan makanan telah diangkut dari jeti.

"Digabungkan dengan pertempuran yang semakin sengit dan kekangan akses di Gaza, ini telah menjejaskan operasi kemanusiaan dan keupayaan orang ramai untuk mendapatkan bantuan menyelamatkan nyawa.

Iklan

"Menurut Kluster Kesihatan, terdapat bekalan perubatan yang sangat terhad di Gaza dan ini menyebabkan kekangan utama dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan,” kata agensi itu.

OCHA menyatakan bahawa pengeboman Israel dari udara, darat dan laut terus dilaporkan di banyak kawasan Semenanjung Gaza, menyebabkan lebih banyak orang awam terkorban, kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan rumah serta infrastruktur awam lain. - Bernama