Sensasi Jun Hao di Singapura

Iklan
Jun Hao. - Foto: Agensi

[DIKEMAS KINI] PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berada dalam kelas tersendiri apabila menumpaskan pemain yang menghuni kelompok 10 terbaik dunia pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura sebentar tadi.

Jun Hao yang berstatus ke-36 dunia memperagakan aksi luar biasa menyingkirkan jaguh Indonesia yang menghuni ranking nombor tujuh dunia, Anthony Sinisuka Ginting untuk mara ke saingan suku akhir pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Juara remaja Asia itu memulakan langkah positif menerusi kemenangan 21-14 dalam saingan set pertama di Stadium Tertutup Singapura itu.

Berbekalkan pengalaman, Ginting bangkit meningkatkan momentum sekali gus mengungguli permainan kedua 21-10 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Iklan

Enggan mengalah Jun Hao kembali memperkemaskan corak permainan untuk mendominasi set ketiga dan kemudian mengesahkan kemenangan 21-8 dalam masa 60 minit permainan.

Kemenangan itu mengurangkan defisit kekalahan Jun Hao ke atas Ginting kepada 1-2 selepas dua pertemuan sebelum ini iaitu Terbuka Hong Kong 2023 dan Terbuka India 2024.

Iklan

Ia juga akan menjadi penampilan kedua Jun Hao dalam aksi suku akhir kejohanan Jelajah Dunia musim ini selepas berada dalam kelompok lapan terbaik pada Masters Sepanyol Mac lepas.

Dalam kejohanan Malaysia Masters minggu lalu, perjalanan Jun Hao tersekat pada pusingan kedua selepas tumpas kepada pemain nombor enam dunia dari China, Li Shi Feng.

Menuju ke saingan separuh akhir, Jun Hao dijadual berdepan pemenang perlawanan antara juara Malaysia Masters yang juga pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dengan pemain Taiwan, Li Chun Yi.

Sementara itu, juara dunia beregu lelaki 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke suku akhir apabila menewaskan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-18, 21-23, 21-17.

Dalam perebutan slot separuh akhir esok, beregu nombor lima dunia itu akan menentang pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmusse, yang menewaskan wakil negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-10, 20-22, 21-19.

Beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula ditunjukkan jalan keluar wakil Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 18-21, 21-18, 10-21.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!