LIPIS - Seorang lelaki berusia 35 tahun yang pernah ditahan atas kesalahan memproses air ketum ditahan sekali lagi di sebuah rumah di Kuala Lipis, di sini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, lelaki tersebut tidak serik apabila ditahan buat kali ketiga dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, jam 12.10 pagi, Khamis.
"Hasil siasatan kita mendapati suspek telah menjalankan aktiviti memproses dan menjual air ketum sejak lima tahun lalu serta pernah ditahan dua kali atas kes yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, beliau berkata, susulan penahanan suspek pada Khamis beberapa rampasan telah dibuat antaranya periuk besar, tong gas serta dapur yang digunakan untuk merebus air ketum.
"Selain itu, sebanyak 135 bungkus plastik putih air ketum yang sedia untuk dijual turut dirampas," katanya.
Ismail memberitahu modus operandi digunakan suspek dengan menyewa sebuah rumah yang tiada penghuni berdekatan.
Katanya, rumah tersebut dibiarkan penuh dengan semak samun dan hanya menggunakan pintu belakang bagi urusan jual beli bagi mengaburi pihak polis.
"Suspek kini telah direman di lokap IPD Lipis bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!