BEAUFORT - Seorang pesara guru berdepan detik cemas apabila diikat dan diugut bunuh sebelum wang serta barang kemasnya dirompak dalam kejadian di kediamannya di Kampung Datung Melabau di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, mangsa yang juga wanita mengalami kerugian hampir RM13,000 termasuk wang tunai sebanyak RM2,300 akibat dilarikan suspek.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa baru saja selesai menunaikan solat dan ternampak kelibat individu melintas melalui tingkap rumahnya.
"Semasa mangsa memeriksa pintu dapur, dia terkejut melihat seorang lelaki yang tidak dikenali memakai topi keledar dengan menutup mukanya menggunakan visor sedang berdiri di hadapan pintu dapur rumahnya.
"Mangsa terus menutup pintu dapur tetapi suspek telah menolak pintu tersebut sehingga menyebabkannya terjatuh.
"Suspek kemudian bertindak mengikat tangan mangsa di bahagian belakang menggunakan pita pelekat lalu membawanya ke bilik tidur dan turut mengugut bunuh sekiranya meminta pertolongan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, suspek bertindak mengambil gelang emas yang dipakai mangsa dan beg tangan yang diletakkan di meja makan.
"Beg tersebut mengandungi dokumen pengenalan diri dan wang tunai sebanyak RM2,300. Anggaran kerugian mangsa sebanyak RM12,700.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 394/506 Kanun Keseksaan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!