KUALA LUMPUR - Acara penerbangan lintas hormat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan diteruskan pada masa akan datang dengan mengaplikasikan prosedur keselamatan yang diperketatkan.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, langkah keselamatan dari semua aspek menjadi keutamaan pasukan itu dalam sebarang acara membabitkan penerbangan lintas hormat.
"Penerbangan lintas hormat adalah acara rutin yang selamat dan mampu meniup semangat serta keyakinan tinggi kepada juruterbang dan serta semua kru TLDM.
"Bagaimanapun, kita akan memastikan semua aspek yang ditetapkan dipenuhi termasuk faktor kesihatan, fizikal dan mental selain kelayakan teknikal sesebuah pesawat," katanya dalam sidang akhbar ketika membentangkan Laporan Akhir Insiden Helikopter TLDM di sini, pada Khamis.
Abdul Rahman turut mengulas ketika ditanya sama ada TLDM akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) pembelian dan sewaan aset udara yang akan digunakan kelak.
"Dari segi pembelian atau sewaan aset udara pada masa hadapan, TLDM akan mengambil kira 'black box' (kotak hitam) sebagai salah satu peralatan utama yang perlu dititikberatkan," katanya.
Ia susulan tragedi yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM pada 23 April lalu, di mana salah satu daripada helikopter yang terhempas iaitu jenis AS 555 SN Fennec tidak memiliki kotak hitam.
"Langkah ini adalah untuk memastikan Cawangan Udara TLDM terus beroperasi dengan selamat dan berkesan ketika terbabit dalam penugasan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara serta sebarang acara membabitkan cawangan itu," katanya.
Dalam insiden berkenaan 10 kru penerbangan yang menaiki dua helikopter jenis Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139, terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, ketika mengadakan raptai Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!