KEKEJAMAN yang dilalui rakyat Palestin terus menjadi perhatian dunia dan sejak akhir-akhir ini, lebih ramai selebriti yang berani menunjukkan solidariti mereka, termasuklah bintang terkenal Bollywood.
Antara nama yang pernah menyatakan sokongan termasuklah Alia Bhatt, Kareena Kapoor, Samantha Ruth Prabhu, Triptii Dimri, Madhuri Dixit, Fatima Sana Shaikh, Dia Mirza dan Swara Bhasker.
Bagaimanapun 'keberanian' itu membuatkan mereka diboikot peminat dan beberapa jenama besar kerana mempertahankan rakyat Palestin.
Tidak berdiam diri, salah seorang bintang Bollywood, Pooja Bhatt membidas tindakan tidak waras pihak yang bertindak menyerang warga industri seni kerana 'bersuara secara kolektif'.
"Dan ia bermula lagi! Harga yang perlu dibayar oleh industri hiburan untuk bersuara secara kolektif atas kekejaman yang dilakukan di Palestin," ujarnya beserta tanda pagar #AllEyesonRafah.
Beberapa minit kemudian, wanita berusia 52 tahun itu turut menambah:"Semua sudah boleh diramal. Jadi tiada sebarang imaginasi."
Sebelum ini, adik tiri Pooja iaitu Alia Bhatt turut berkongsi semula hantaran mengenai kanak-kanak di bumi Rafah dengan kapsyen:"Semua kanak-kanak berhak mendapat kasih sayang. Semua kanak-kanak berhak mendapat keselamatan. Semua kanak-kanak berhak mendapat ketenangan. Semua kanak-kanak berhak untuk hidup. Dan semua ibu berhak untuk memberikan anak-anak mereka perkara itu.” juga beserta tanda pagar #AllEyesOnRafah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!