KUMPULAN Takal yang popular dengan konten parodi alih suara gaya tahun 80-an berjaya mengangkat populariti filem Melayu selain membawa mereka kembali mengimbau kenangan pada zaman itu.
Kumpulan itu yang diketuai oleh Ocong atau nama sebenarnya Mohd Shah Iskandar, Emy (Muhd Helmy Nazri) dan Ifik (Mohd Iftikhar) mula mewarnai industri pembuatan konten digital bermula tahun lalu.
Pengasas kumpulan tersebut, Ocong, 32, berkata, inspirasi untuk mencipta kandungan berbentuk parodi itu dilakukan selepas menonton filem Azura yang diterbitkan pada 1984.
Menurutnya, selepas tercetus idea tersebut, dia mengajak dua orang lagi rakannya iaitu Emy, 28, dan Ifik,26, untuk sama-sama berganding bahu bagi melakonkan semula babak filem tersebut berserta seni parodi alih suara.
"Idea ini telah tercetus pada November tahun lalu. Saya terinspirasi untuk membuat parodi dan alih suara untuk filem-filem tahun 80-an selepas menonton Azura.
"Walaupun saya lahir pada tahun 90-an dan tidak pernah merasa hidup di zaman 80-an tetapi saya suka dengan tutur serta lenggok bahasa yang digunakan.
"Selepas itu saya suarakan idea ini kepada Ifik dan Emy. Jadi kita buat sedikit kajian dan belajar untuk cipta konten yang boleh diterima oleh masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat lawatan di pejabat Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.
BELAJAR
Dalam pada itu, Emy, 28, berkata, walaupun ia sekadar lakonan namun mereka tidak boleh mengambil remeh, sebaliknya perlu belajar dan membuat pemerhatian khusus.
Tambahnya, sebagai pembuat kandungan digital mereka juga perlu bijak membuat konten meskipun terdapat segelintir netizen yang kurang senang dengan lakonan tersebut.
"Walaupun konsep kita parodi tetapi tidak boleh buat konten sekadar asal boleh sahaja sebab tutur bahasa orang lama ini unik. Kita kena ambil berat juga,” ujarnya.
Sementara itu, Ocong berkata, penganjuran Karnival Rakyat oleh Kumpulan Karangkraf merupakan inisiatif baharu dalam memperkenalkan pelbagai nostalgia lama kepada generasi masa kini.
Menurutnya, dengan memperkenalkan kembali permainan tradisional dan seni persembahan mampu mengasah lebih ramai bakat baharu.
"Karnival seperti ini dapat mengimbau kenangan dan nostalgia terutama pada zaman yang tiada teknologi.
"Inisiatif ini secara tidak langsung boleh memperkenalkan kepada anak-anak muda sekarang cara hidup orang lama,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!