Keluarga tahanan mati dalam lokap dapat pampasan lebih RM300,000

Iklan
S Balamurugan yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis, tujuh tahun lepas.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberikan pampasan lebih RM300,000 kepada keluarga S Balamurugan yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis, tujuh tahun lepas.

Peguam Zaid Malek, yang mewakili balu Balamurugan iaitu Natthanan Yoochomsuk dan saudara lelaki mendiang S Balraj selaku plaintif, memberitahu pemberita bahawa Hakim Su Tiang Joo memberikan RM100,000 sebagai ganti am, RM200,000 sebagai ganti rugi teruk, RM16,000 sebagai ganti rugi khas dan RM22,000 sebagai kos.

Iklan
Iklan

Pada 30 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa polis serta kerajaan bertanggungjawab atas kematian Balamurugan dan memerintahkan jumlah ganti rugi ditaksir secara berasingan.

Plaintif telah memfailkan saman pada 7 Februari 2020 terhadap polis dan kerajaan atas dakwaan cuai, mengancam dan melakukan serangan fizikal, pemenjaraan salah serta melanggar kewajipan berkanun bagi kematian Balamurugan pada 8 Feb 2017 ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Klang Utara.

Iklan

Mendiang ditemukan dengan 20 tanda kecederaan dan pakar patologi mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan oleh penyakit arteri koronari dengan pelbagai kecederaan akibat objek tumpul.

Menerusi saman itu, kedua-dua plaintif menamakan empat pegawai polis, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Iklan

Keluarga mendiang turut diwakili peguam Nabila Khairuddin manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan Afiq Nazrin Zaharinan mewakili kesemua defendan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!