KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memuji Indah Water Kosortium Sdn Bhd (IWK) kerana terus berjaya mengurus dan menyelenggara sisa kumbahan secara inovatif serta memacu ekonomi kitaran sejak 30 tahun penubuhannya.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, IWK telah mempelopori model ekonomi kitaran dengan penggunaan semula biproduk air kumbahan sebagai sumber alternatif serta tenaga baharu.
Beliau berkata, perkara itu terbukti dengan pelbagai inisiatif mampan yang dilaksana oleh IWK antaranya menghasilkan kira-kira 80,000 tan baja organik daripada biopepejal setiap tahun.
"Syarikat ini telahpun mencari kaedah untuk menggunakan semula sumber berharga ini sebagai langkah maju ke arah pengurusan sisa biopepejal yang mampan.
"Menggunakan semula biopepejal ini bukan sahaja mengurangkan pembuangan sisa di tapak pelupusan tetapi juga menawarkan alternatif yang kos efektif dan mampan berbanding baja sintetik,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 syarikat itu di IWK Eco Park di sini pada Khamis.
Fadillah berkata, IWK juga telah menonjolkan keupayaannya melalui penggunaan tenaga solar di 396 tapak loji bagi menjalankan beberapa peralatan rawatan kumbahan selain mampu menghasilkan 21,500 megawatt sejam (MWh) setahun dengan pengunaan teknologi tenaga solar dan ia dijangka menjimatkan kos sebanyak RM1.8 juta menjelang 2027.
"Saya meminta semua pihak untuk menghargai pengorbanan dan dedikasi petugas IWK yang sering kali berhadapan dengan situasi kotor, sukar dan berbahaya. Mereka inilah wira yang tidak didendang, yang sering kali dilupakan kerana kita tidak nampak kerja-kerja di belakang tabir ini.
"Namun tanpa komitmen mereka yang terus memastikan air sisa kumbahan dirawat dengan cekap, kita pastinya tidak akan merasai keselesaan seperti hari ini,” katanya.
Pada majlis itu, Fadillah menyampaikan Anugerah Khidmat Setia IWK bagi mengiktiraf kesetiaan, etika kerja yang baik dan semangat petugas IWK selain memupuk budaya penglibatan serta kecemerlangan jangka panjang.
Beliau turut merasmikan Perantis IWK bagi memperkasa golongan belia dan mendorong mereka ke arah kemampanan serta penerbitan teater bertajuk Najis Jadi Teman yang menceritakan tugas-tugas di belakang tabir dalam dunia rawatan kumbahan pada 22 Jun ini. - Bernama