PEMBERIAN baucar buku bernilai RM100 kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menegah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) merupakan usaha kerajaan membantu dan meringankan beban rakyat untuk mendapatkan bahan ilmiah.
Ia sekali gus dapat memupuk semangat membaca dalam kalangan pelajar yang dilihat masih pada tahap yang memuaskan.
Insiatif tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan PBAKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Perdana Menteri menjelaskan, baucar tersebut tidak dapat diberi kepada semua pelajar sekolah rendah seperti sebelum ini memandangkan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan.
"Kerajaan boleh teruskan dengan (pemberian) baucar RM100 itu dan untuk tahun ini, kita mulakan dari (murid) Tahun 4 dan ke atas bagi mengurangkan tekanan kepada kewangan kerajaan.
"Ini bagi memastikan sebahagian wang itu digunakan untuk membeli buku-buku yang diusulkan dan sebahagianya kita beri kelonggaran untuk anak-anak memilih sendiri," katanya.
Ujarnya, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membimbing dan membantu golongan ibu bapa serta guru dalam mendedahkan anak-anak menilai antara bahan maklumat dan ilmu agar tercapai hikmah kebijaksanaan.
"Anak-anak mesti baca, hidupkan budaya membaca, mencintai ilmu dan saya mahu Malaysia Madani memperkasa ekonomi serta budaya, mengangkat martabat sebagai manusia yang berakhlak dan menguasai ilmu," katanya.
Berapa ramai ibu bapa terpaksa mengabaikan keperluan anak-anak untuk mendapatkan bahan bacaan walhal ia adalah satu keperluan demi masa depan mereka.
Jika ia berterusan, dikhuatiri minat anak-anak terhadap bahan bacaan akan berkurangan malah mungkin hilang disebabkan tidak diberi pendedahan awal dengan buku.
Sedangkan semua bacaan pasti akan mengisi jiwa supaya menjadi seorang pelajar yang berilmu.
Jadi dengan baucar yang diberikan oleh kerajaan, anak-anak dapat membeli buku yang diperlukan mereka sekali gus dapat meningkatkan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!