‘Apa amalan mak dia, semua anak dapat 9A’

Iklan
Azreen Izzati (dua kanan) bersama adik perempuan, Farah Wardina (dua dari kiri), pasangan kembar Khairul Eizlan dan Khairul Ezzriq dengan ibunya, Nila Kandi (tengah) selepas mengambil keputusan cemerlang SPM adik lelaki itu pada Selasa. Azreen Izzati (kanan).

SHAH ALAM -"Apa amalan mak dia, semua anak dapat 9A,”. Itu antara komen-komen pengguna media sosial kepada ibu pasangan kembar Khairul Eizlan Nazri dan Khairul Ezzriq, 18, selepas menerima keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Perkongsian video daripada kakak sulung, Azreen Izzati, 26, berkata, sejak kecil ibu bapanya memang menekankan pembelajaran, namun tidak ke arah memaksa yang menyebabkan anak-anak tidak suka belajar.

Iklan
Iklan

Menurut wanita itu, ibunya, Nila Kandi Juita Idris, 51, merupakan ibu tunggal kepada enam anak selepas pemergian bapa, Nazri Omar yang meninggal dunia ketika mendaki Gunung Kinabalu pada 2018.

"Ibu juga selalu beri ruang dan peluang kepada saya dengan adik-beradik lain untuk pilih serta buat keputusan sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Video yang menunjukkan Azreen Izzati, Farah Wardina, 23, dan pasangan kembar itu mendapat keputusan 9A semasa SPM pada tahun masing-masing meraih sehingga 1.5 juta tontonan serta lebih 100,000 tanda suka di platform TikTok.

Dia yang bekerja sendiri sebagai usahawan hiasan dan pereka dalaman itu memberitahu bahawa ibunya gemar berkongsi maklumat atau kaedah pembelajaran untuk dipelajari kerana mengetahui mereka tidak gemar mata pelajaran Matematik.

Iklan

Jelasnya, dia dan adik-beradik yang lain sering memohon doa serta restu daripada ibunya kerana itu merupakan salah satu kejayaan setiap anak-anak.

"Saya banyak minta ibu untuk doakan kami adik-beradik kerana itu kunci kejayaan setiap anak dan mampu menjamin keselamatan kita, insha-ALLAH,” ujarnya.

Ditanya mengenai persiapan peperiksaan adik kembarnya itu, Azreen Izzati mengakui yang mereka berdua memang bergiat aktif dalam pembelajaran terutama banyak menyertai pertandingan dan aktiviti kokurikulum.

Tambahnya, pihak sekolah turut memainkan peranan dalam kecemerlangan mereka kerana sering mengadakan kelas tambahan dan pelbagai taklimat yang dijalankan sebelum ujian.

"Saya nampak mereka juga rajin mengajar kawan-kawan seperti buat perbincangan dalam kumpulan kerana saya percaya yang ilmu dikongsi juga dapat membantu diri sendiri.

"Saya yakin yang mereka fokus di dalam kelas sepenuhnya kerana di rumah mereka lebih kepada pembelajaran santai dan banyak berehat,” jelasnya.

Selain itu, Azreen Izzati memberitahu bahawa keluarganya mempunyai perasaan bimbang semasa ingin mengambil keputusan SPM adik lelaki kembar itu kerana kuatir sekiranya ada perbezaan markah yang jauh.

"Kami memang berharap sangat yang mereka berdua akan dapat keputusan yang cemerlang dan bukan satu pihak sahaja yang gembira.

"Alhamdulillah, kami bersyukur yang kedua-duanya dapat keputusan cemerlang,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!