Pemandu tersepit, empat penumpang bas ekspres cedera

Iklan
Operasi mengeluarkan pemandu bas yang tersepit dilakukan sebelum anggota memberi rawatan awal. Foto Bomba Perak

IPOH - Seorang pemandu dan empat penumpang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan treler di Kilometer 290, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat sini pada Jumaat.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai pada jam 5.16 pagi.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, semasa kejadian, bas terbabit membawa 25 penumpang termasuk tiga kanak-kanak perempuan dan seorang bayi lelaki.

Menurutnya, maklumat awal memaklumkan, insiden berlaku selepas bas berkenaan hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang treler.

Iklan

"Akibat perlanggaran, pemandu bas terbabit telah tersepit. Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan sebelum anggota memberi rawatan awal.

"Insiden turut mengakibatkan empat penumpang iaitu dua lelaki dan dua wanita cedera manakala penumpang lain terselamat," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans.

Katanya, penumpang yang terselamat pula dihantar ke destinasi dituju menggunakan bas ekspres yang lain.

"Operasi menyelamat yang turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng itu tamat pada jam 6.45 pagi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!