BESUT - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengkaji untuk meningkatkan spesifikasi dan ciri keselamatan MyKad bagi mencegah pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri itu.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, kes penyalahgunaan MyKad yang berlaku di negara ini dipandang serius dan tindakan perlu diambil bagi mengelak ia daripada terus berleluasa.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket yang menjalankan pemalsuan kad tersebut.
"Mungkin satu masa nanti kita akan mengkaji dan menyemak kembali untuk meningkatkan spesifikasinya MyKad bagi mengelak berlakunya pemalsuan kad pengenalan ini," katanya ketika ditemui pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Pulau Perhentian di sini, pada Khamis.
Badrul Hisham berkata, setakat ini sebanyak 290 kes penyalahgunaan MyKad yang berlaku di seluruh negara sejak 2020.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 197 kes melibatkan penyalahgunaan MyKad palsu manakala 93 kes lagi melibatkan kesalahan menggunakan MyKad milik individu lain.
Jelas beliau, kad pengenalan diri itu amat 'diminati' warga asing bagi memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan dan lain-lain kelebihan di negara ini.
"Apabila mereka memiliki MyKad, mereka berasa 'aman' untuk menetap di negara ini tanpa takut dikenakan tindakan oleh pihak penguat kuasa.
"Sebelum ini kita pernah berlaku kes warga asing yang sanggup membayar sehingga RM50,000 untuk mendapatkan satu kad pengenalan dan kes tersebut telah terbongkar dan ditangkap," katanya.
Pada program itu, seramai 32 penduduk di Kampung Pulau Perhentian, di sini menerima dokumen pengenalan diri melibatkan permohonan kad pengenalan kali pertama 12 tahun dan gantian kad pengenalan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!