Sempurnakan ibadah korban jika berkemampuan

Iklan
HUKUM sunat muakkad ibadah korban ke atas setiap Muslim adalah pada setiap tahun bagi mereka yang berkemampuan dan sebaiknya jangan ditinggalkan. -Foto: 123rf

Luruskan salah anggap tentang syariat itu, kikis sifat bakhil dan laksanakan dengan sebaiknya

DEK kerana sudah ‘menumbangkan’ seekor lembu pada tahun lalu, terdapat segelintir masyarakat enggan melakukan ibadah korban lagi pada musim ini.

Kononnya hendak memberikan peluang tersebut kepada orang lain pula. Supaya orang lain boleh melakukan ibadah berkenaan, seolah-olah bertukar baton pula.

Iklan
Iklan

Satu lagi situasi, terdapat individu berkemampuan, namun terlalu berkira untuk ‘berkorban’. Malah, ada yang sanggup memilih haiwan yang ‘kurus’ dan tidak banyak isi.

Pada mereka, ia sudah cukup asalkan mereka berjaya menjalankan ibadah korban.

Iklan

Itu dua keadaan berbeza berlaku dalam masyarakat pada hari ini. Sedangkan, umat Islam berkemampuan dianjurkan untuk melaksanakannya.

Ini kerana tiada amalan yang lebih disukai oleh ALLAH SWT dan Rasulullah SAW saat tibanya Hari Raya Aidiladha selain melaksanakan ibadah korban.

Iklan

Apa hikmah di sebalik pensyariatan amalan berkenaan? Apakah hukum meninggalkannya walaupun mempunyai lebihan harta?

Bukan sekali seumur hidup

Untuk kupasan lanjut, Sinar Islam Plus mendapatkan penjelasan daripada pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah.

USTAZ MOHAMAD HADI

Beliau mengajak kita untuk memahami hukum menyempurnakan ibadah korban rentetan daripada peristiwa korban yang dilakukan Nabi Ibrahim AS kepada anaknya, Nabi Ismail AS demi memenuhi perintah ALLAH SWT.

Jelas beliau, majoriti ulama termasuk Mazhab Syafie menyatakan, ia dihukumkan sunat muakkad bagi setiap individu Muslim mahupun Muslimah mukalaf yang baligh dan berakal serta berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban pada 10, 11, 12 serta 13 Zulhijah.

"Pun demikian, pendapat kedua mengatakan wajib bagi mereka yang mampu. Demikian pandangan Mazhab Hanbali dan masing-masing satu pandangan dalam kalangan Mazhab Maliki dan anak murid Imam Abu Hanifah,” katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohamad Hadi turut memperbetulkan tanggapan sebilangan orang yang menyangkakan ibadah korban wajib dilakukan sekali seumur hidup.

Bagi mereka yang mampu, tetapi tidak melaksanakan korban, penceramah itu berkata, mereka sebenarnya telah melakukan perbuatan makruh.

"Rugilah kelompok berkenaan sebab ALLAH SWT sudah memberikan satu syariat untuk kita laksanakan dengan kelebihan dan imbalan bukan calang-calang, tetapi kita sia-siakan. Sikap ini menunjukkan kita sebenarnya tidak bersyukur kepada ALLAH.

"Sedangkan, terlalu banyak rezeki yang DIA limpahkan kepada kita sepanjang tahun dan ada lebihan pula. Maka tidak sepatutnya kita sebagai orang beriman dan bertakwa bertindak sedemikian,” terangnya.

Haiwan korban paling afdal

PILIHLAH haiwan korban yang sihat, gemuk dan sempurna serta lebih afdal jika ia jantan dan berwarna putih. -Foto: Canva

Ditanya tentang sikap segelintir individu yang memilih haiwan korban kurus kerana harganya jauh lebih murah walaupun berkemampuan, Mohamad Hadi berpandangan, meskipun ibadah korbannya sah, namun lebih elok andai ia disempurnakan dengan baik.

"Antara salah satu sebab adalah banyaknya isi (daging) korban. Maka, lebih besar lagi manfaatnya kepada orang lain.

"Benar, harganya lebih mahal (berbanding dengan haiwan korban kurus), tetapi pahalanya lebih besar. Pastinya kita mahukan yang terbaik, lebih mahal, gemuk dan sempurna bagi mereka yang berkemampuan.

"Ketahuilah, memilih haiwan korban sebagaimana dinyatakan tadi merupakan salah satu bentuk untuk mengagungkan syiar ALLAH SWT,” jelasnya sambil menjelaskan sunat memilih haiwan jantan dan berwarna putih sebagai binatang korban.

Pernyataan itu dikukuhkan lagi dengan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hajj, ayat ke-37: "Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada ALLAH, tetapi yang sampai kepada-NYA adalah ketakwaan kamu. Demikianlah DIA menundukkannya untukmu agar kamu mengagungkan ALLAH atas petunjuk yang DIA berikan kepadamu.”

Abu Umamah bin Sahl berkata: "Dahulu kami di Madinah biasanya memilih haiwan yang gemuk ketika berkorban. Dan memang kebiasaan kaum Muslimin ketika itu adalah berkorban dengan haiwan yang gemuk-gemuk.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Sunnah ketika korban

Pada masa sama, mereka yang terlibat dengan ibadah berkenaan juga sebaiknya tidak mengabaikan perkara-perkara sunat berkaitan.

BAGI mereka yang berkemampuan, sempurnakanlah ibadah korban dengan sebaiknya. -Foto: Canva

Ujar Mohamad Hadi, antara sunnah yang boleh dilakukan adalah melakukan korban di kawasan lapang, menyembelih haiwan dengan tangan sendiri atau setidak-tidaknya menyaksikan sendiri binatang korbannya disembelih.

"Satu lagi, gunakanlah pisau yang tajam supaya haiwan korban tidak sakit ketika disembelih dan makanlah daging korban berkenaan, di samping bersedekah kepada yang lain,” terangnya.

Bagi individu yang tidak dapat melaksanakan ibadah korban pada tahun ini, Mohamad Hadi berpesan, sekarang adalah masa terbaik untuk mereka membuat simpanan.

"Mungkin boleh menabung RM50 sebulan. Cukup setahun, sudah dapat RM600 dan boleh buat ibadah korban di luar negara.

"Bagi mereka yang mahu meningkatkan iman dan takwanya kepada ALLAH SWT, perlu ada niat dan menabung untuk dia melakukan ibadah korban pada setiap tahun,” titipnya.

ANEKDOT

Hikmah tersirat di sebalik ibadah korban

1. Memperingati peristiwa pengorbanan terhadap penyembelihan dilakukan Nabi Ibrahim AS kepada anaknya Nabi Ismail AS sebagai satu perintah daripada ALLAH SWT melalui mimpi.

Akhirnya Nabi Ismail AS diganti dengan seekor kibas.

2. Satu bentuk pemberian bantuan dan mengingati golongan fakir miskin.

Jika Hari Raya Aidilfitri, golongan itu digembirakan dengan agihan zakat fitrah, tetapi ketika Hari Raya Aidiladha pula, mereka dihadiahkan dengan daging sembelihan segar.

3. Sebagai tanda syukur atas segala nikmat kurniaan ALLAH SWT kepada kita sepanjang tahun.

Segala tanda kesyukuran itu dapat dizahirkan menerusi perbuatan kita menyembelih haiwan korban sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada-NYA.

4. Mengecap takwa.

Dalam ayat 37 Surah al-Hajj, ALLAH SWT bukannya mahu kita ‘persembahkan’ daging atau darah haiwan korban itu. Sebaliknya DIA hendak kita lahirkan sifat takwa di sebalik penyembelihan korban dilakukan.

5. Melihat kesabaran Nabi Ibrahim dan Ismail AS menyempurnakan perintah ALLAH.

Ketahuilah, tiga jenis sabar iaitu sabar dalam menghadapi musibah atau ujian, sabar dalam ketaatan kepada ALLAH SWT dan sabar dalam meninggalkan maksiat.

***Sumber: Pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah