SETIU - Seorang warga emas maut apabila motosikal yang dinaiki bersama anaknya dirempuh sebuah kereta ketika ingin menyeberangi jalan di Kilometer (KM) 54, Kampung Chalok Kedai di sini pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintenden Burhanuddin Mustafa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.10 petang menyebabkan Mamat Abas, 71, maut akibat kecederaan parah pada bahagian kepala sementara anaknya Ruslan Mamat, 14, mengalami kecederaan ringan pada badan.
Menurutnya, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bukit Layat menghala ke sebuah restoran.
"Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika mangsa berada di bahu jalan ingin melintas ke seberang jalan sebelum dilanggar sebuah Proton Saga FL yang juga dari arah sama.
"Pemandu kereta itu dikatakan dalam perjalanan dari sebuah stesen minyak yang menghala ke rumah di Felda Chalok Barat," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa yang ketika itu mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!