Gema bahasa Melayu di Peking, pencetus hubungan akrab Malaysia-China

Iklan
Hubungan diplomatik rasmi antara Malaysia dan China bermula dengan lawatan dan ucapan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien (kiri) dalam bahasa ibunda di negara Komunis itu pada 1974.

KUALA LUMPUR - Gema lantunan ucapan dalam Bahasa Melayu di pentas global bukanlah perkara baharu.

Antara figura negara yang pernah memartabatkan bahasa kebangsaan di pentas dunia ialah Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada 1957 dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada 2022, kedua-duanya berucap dalam bahasa kebangsaan itu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pengucapan awam dalam Bahasa Melayu oleh"Bapa Pembangunan Malaysia”, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein di Great Hall of the People Peking (kini dikenali sebagai Beijing), China pada 1974 membuka lembaran baharu dalam sejarah diplomasi negara.

PERTAMA KALINYA DI DATARAN PEKING

Iklan

Hubungan diplomatik rasmi antara Malaysia dan China bermula dengan lawatan dan ucapan Abdul Razak dalam bahasa ibunda di negara Komunis itu, yang kurang terbuka kepada dunia luar di era Perang Dingin.

Menyorot kembali detik ini, BERNAMA dalam laporan penuh bersempena mengenang 100 tahun kelahiran Abdul Razak tahun lalu menunjukkan perdana menteri kedua itu sememangnya memilih untuk berucap penuh dalam bahasa Melayu bersempena lawatan sulung beliau ke Beijing.

Iklan

Prof Madya Obaidellah Mohammad, penterjemah ucapan beliau pada malam bersejarah itu, dalam laporan itu juga berkata,"(Beliau) memberitahu pada jamuan negara malam ini (ketika itu) beliau mahu berucap dalam bahasa Melayu. Jadi, Abdul Razak kata pada saya, beliau cakap satu para (bahasa Melayu) dan saya akan terjemah satu para (ke bahasa Mandarin),” katanya.

Di era 1970-an, tidak terbayang bagaimana ratusan yang hadir di dewan besar itu memberikan tumpuan kepada negarawan dari Malaysia berucap dalam bahasa asing di hadapan mereka.

Percaya atau tidak, di sebalik dasar luar negara Malaysia yang anti-Komunis, sejarah tercipta malah dengan lawatan Abdul Razak ternyata menjadi perintis kepada hubungan diplomatik yang pada hari ini (31 Mei, 2024) genap usianya 50 tahun!

CHINA SEBAGAI PROSPEK

Mengakui hubungan Malaysia-China bermula dengan lawatan Abdul Razak itu, Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik & Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Samsudin berkata, hubungan diplomatik itu bermula antaranya, atas dasar senario antarabangsa serta keadaan ekonomi ketika itu.

Malaysia, selaku negara yang merdeka, aspek hubungan perdagangan yang baik dengan negara luar adalah sangat perlu untuk memacu pembangunan ekonomi dalam negara.

"Saya lihat Abdul Razak pada ketika itu melihat kepada inisiatif yang sihat sekiranya dapat menjalin hubungan perdagangan dengan China, terutamanya sektor komoditi utama seperti getah dan bijih timah.

"Berdepan dengan permainan buli oleh negara-negara besar yang mengamalkan sistem stok penimbal komoditi, Malaysia tidak boleh lagi hanya bergantung semata-mata kepada negara di Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya kepada BERNAMA.

Justeru, Kerajaan Malaysia pada ketika itu mula mencari pasaran baharu, antaranya negara-negara Sosialis dan Kesatuan Soviet.

Tetapi China, yang berada lebih dekat, dilihat sebagai prospek terbaik untuk dagangan eksport dan juga import, bertitik tolak daripada aspek dagangan inilah, Abdul Razak yang juga anak kelahiran Pekan, Pahang berpendapat segala urusan hubungan dua hala adalah wajar didukung dengan hubungan diplomatik yang seterusnya dapat diperluaskan kepada bukan sahaja hubungan ekonomi, tetapi juga sosial dan budaya.

Dalam lawatan julung kali itu, enam deklarasi dicapai kedua-dua pihak menerusi satu kenyataan bersama yang ditandatangani pada 31 Mei 1974 oleh Perdana Menteri China, Chou En Lai dan Abdul Razak, antaranya, persetujuan mewujudkan hubungan diplomatik, yang seterusnya menjadikan Malaysia negara ASEAN pertama mewujudkan hubungan diplomatik dengan China.

CHINA RAKAN TRADISI, HORMATI MALAYSIA

Menurut Mohd, hubungan yang terjalin sejurus selepas lawatan pertama tidak hanya sekadar terhenti di situ tetapi terus disemarakkan lagi dalam kepelbagaian konteks yang positif.

Tambahnya, sungguhpun tanggapan China sebagai negara Komunis masih kuat dalam kalangan rakyat kedua-dua negara, tetapi Abdul Razak dilihat berjaya menghapuskan stigma berkenaan menerusi banyak pertemuan dan perbincangan secara telus dengan kepimpinan China, mahupun negara-negara serantau lain.

Soal pengimbangan kuasa yang juga dititikberatkan oleh dasar luar Malaysia selepas hubungan perdagangan menjadikan Malaysia sentiasa dihormati China.

"China bukanlah negara yang baharu Malaysia kenal. Hubungan perdagangan yang wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi menjadikan ia suatu hubungan tradisi dan sangat memberikan kelebihan kepada Malaysia, apatah lagi China juga dikenali sebagai negara maritim yang mempunyai kuasa besar kelautan di Asia.

"Maka, Malaysia terus menjalin hubungan menerusi konsep terbuka. Selaku negara pertama, Abdul Razak juga difahamkan pernah bersemuka dengan Presiden Indonesia Soeharto terlebih dahulu menyatakan niat Malaysia untuk menjalin hubungan diplomatik dengan China.

"Ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa Indonesia kekal rakan kepada Malaysia dan tidak mengetepikan negara jiran yang lain. Malah, langkah Malaysia jalin hubungan diplomatik dengan China turut diikuti seterusnya oleh negara-negara ASEAN lain,” tambahnya.

SELEPAS JUBLI EMAS

"Keuntungan” yang dinikmati kedua-dua negara hasil jalinan yang terbina sejak 50 tahun lalu dilihat semakin berkembang pesat, khususnya dalam tempoh 25 tahun kebelakangan ini.

Mohd berkata justeru hubungan simbiosis ini dilihat masih dan akan terus kekal relevan untuk banyak tahun mendatang dalam membantu kelangsungan bilateral antara dua negara, khususnya meningkatkan diplomasi budaya dan sektor pelancongan.

"China mempunyai kepakaran teknologi yang tidak boleh dinafikan kecanggihannya. Sebagai sebuah negara maju, China mempunyai sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang juga besar dan berdaya maju.

"Keupayaan teknologi ini wajar kita manfaatkan dan rebut dengan baik agar Malaysia dapat terus bersaing dalam bidang teknologi di peringkat Asia,

"Dalam bidang pendidikan pula, kita dapat lihat peningkatan jumlah pelajar dari China yang datang ke Malaysia. Mereka membawa balik pengalaman dan pengetahuan mengenai Malaysia ke negara mereka, seterusnya mempromosikan Malaysia kepada rakyat di sana.

"Ini merupakan satu pelaburan jangka panjang yang penting untuk kelangsungan hubungan baik antara kedua-dua negara,” tambahnya.

Daripada sektor perdagangan hinggalah kepada pendidikan, keakraban ini ternyata mampu memberikan nilai tambah kepada kedua-dua negara pada masa akan datang.

Kisah hubungan Malaysia-China adalah satu contoh bagaimana persahabatan yang dibina atas dasar saling menghormati dan kepercayaan boleh membawa kepada kemakmuran bersama, yang kini menjangkau lebih separuh abad. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!