IWK pamer prestasi cemerlang sepanjang 30 tahun berkhidmat

Iklan
Fadillah (tengah) melakukan gimik perasmian Perantis IWK di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 IWK di IWK Eco Park, Kuala Lumpur pada Khamis.

SHAH ALAM - Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd berjaya mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang 30 tahun penubuhannya dalam memberi perkhidmatan dan menyelenggara sisa kumbahan secara inovatif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, IWK turut mempelopori model ekonomi kitaran dengan penggunaan semula biproduk air kumbahan sebagai sumber alternatif serta tenaga baharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara tersebut dibuktikan dengan pelbagai inisiatif mampan yang dilaksana oleh IWK antaranya menghasilkan kira-kira 80,000 tan baja organik daripada biopepejal setiap tahun.

"Syarikat berkenaan telah mencari kaedah untuk menggunakan semula sumber berharga ini sebagai langkah maju ke arah pengurusan sisa biopepejal yang mampan.

Iklan

"Menggunakan semula biopepejal ini bukan sahaja mengurangkan pembuangan sisa di tapak pelupusan tetapi juga menawarkan alternatif yang kos efektif dan mampan berbanding baja sintetik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, IWK menyambut ulang tahun ke-30 penubuhan syarikat dengan memberi Anugerah Khidmat Setia IWK bagi mengiktiraf kesetiaan, etika kerja yang baik dan semangat kakitangan selain memupuk budaya penglibatan serta kecemerlangan jangka panjang.

Iklan

Dalam pada itu Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi berkata, beliau berbangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh syarikat berkenaan sejak awal penubuhan sehingga kini.

Ahmad Johnie ketika berucap pada majlis perasmian Perantis IWK di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 IWK di IWK Eco Park, Kuala Lumpur pada Khamis.

Ujarnya, pencapaian tiga dekad bukan sahaja milik IWK tetapi ia juga bukti sokongan tidak ternilai daripada pihak berkepentingan, pelanggan dan ahli komuniti.

"Bagi memperingati mercu tanda penting ini, kami melancarkan beberapa inisiatif bermakna sebagai penghargaan kepada masyarakat iaitu Perantis IWK (program perantis) dan penerbitan teater bertajuk 'Najis Jadi Teman' yang bakal mempamerkan realiti dunia rawatan kumbahan," katanya.

Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 IWK di IWK Eco Park, Kuala Lumpur pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, program perantis berkenaan khusus untuk graduan baru atau siswazah tahun akhir, yang berminat dengan kelestarian alam sekitar dan pembangunan insaniah.

Jelasnya, ia bertujuan memperkasakan golongan belia dan mendorong ke arah kemampanan dengan menyediakan kemahiran insaniah dan nilai-nilai kepimpinan, di samping belajar untuk mencipta kempen media

sosial yang berkesan.

"Dalam program ini, IWK akan bekerjasama dengan NK Communications dan seorang usahawan, jurulatih, juruhebah radio serta hos TV, Natalie Kniese yang akan memperkasa anak muda dengan mengetengahkan kebolehan termasuk kemahiran berkomunikasi dengan berkesan melalui program latihan tersebut.

"Peserta bagi program Perantis IWK akan bersaing untuk merebut tiga hadiah berupa wang tunai bernilai RM1,000 seorang serta peluang pekerjaan atau latihan industri di IWK," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!