SHAH ALAM - Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin menggesa Malaysia supaya menarik diri daripada menyertai latihan ketenteraan maritim antarabangsa Rim of the Pacific (Rimpac) 2024.
Menerusi satu kenyataan gabungan itu berkata, ia sebagai tindakan membantah penyertaan Israel dalam acara berkenaan kerana rejim Zionis dilihat secara terang-terangan tidak menghiraukan nyawa rakyat Palestin yang terkorban dalam serangannya di Gaza.
"Mereka turut tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa dan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) agar menghentikan serangan di Rafah. Israel terbukti negara penyangak dan zalim.
"Dunia harus berhenti menganggapnya sebagai sebuah negara biasa yang mematuhi undang-undang jika mahu jenayah Israel di Gaza dan Tebing Barat dihentikan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan, Rimpac 2024 merupakan eksesais maritim terbesar dunia yang diadakan dua tahun sekali di Hawaii dan Amerika Syarikat.
Tentera Laut Israel mula menyertai latihan Rimpac pada 2018 tetapi masih belum menghantar kapalnya untuk menyertai latihan itu.
Rimpac 2024 akan diadakan bermula 26 Jun hingga 2 Ogos, melibatkan 29 negara, 40 kapal, tiga kapal selam, 14 pasukan tentera darat, lebih 150 pesawat dan lebih 25,000 anggota.
Dalam pada itu, TLDM turut memaklumkan bahawa KD Lekiu telah meninggalkan pangkalannya di Lumut untuk menyertai Rimpac 2024.
Pelayaran yang berlangsung hampir 100 hari dan meliputi 12,730 batu nautika (23,576km) itu bakal menyaksikan KD Lekir mengambil bahagian dalam pelbagai latihan termasuk melepaskan peluru berpandu secara langsung terhadap kapal sasaran.
Susulan daripada tindakan tersebut, gabungan NGO pro-Palestin menegaskan bahawa Malaysia perlu mengundurkan diri daripada menyertai latihan tersebut.
"Kami mengulangi gesaan kami kepada kerajaan Malaysia untuk segera berundur daripada eksesais ketenteraan Rimpac bagi menyampaikan mesej itu," ujarnya ringkas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!