KUANTAN - Seorang pekerja kebun sayur warga Indonesia maut manakala rakannya dilaporkan cedera dipercayai akibat ditetak rakan senegara menggunakan parang dalam pergaduhan di tepi jalan kawasan Tringkap, Cameron Highlands pada Khamis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang maut, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an manakala rakan yang cedera berusia sekitar 30-an.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, salah seorang suspek berusia 30-an yang dilaporkan turut cedera berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku bermula dengan pertengkaran antara mangsa dan suspek bagaimanapun motif sebenar masih dalam siasatan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyerahkan sumbangan pegawai jabatan Polis Kontinjen Pahang kepada keluarga Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, yang terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, 17 Mei lalu.
Turut hadir menyampaikan sumbangan, mantan Timbalan Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur dan Selangor, M Jayabarathi.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!