IPOH - Seorang pencuci kereta mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan melakukan ugutan jenayah terhadap dua beradik, minggu lalu.
K Navin, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret S Punitha.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap J Dheeva Balan, 21, menggunakan sebilah parang yang merupakan senjata yang boleh menyebabkan kematian di sebuah rumah di Persiaran Pengkalan Timur 11, Desa Pakatan, Ipoh kira-kira jam 1.30 pagi pada 26 Mei 2024.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Bagi pertuduhan kedua, Navin didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan mendatangkan ketakutan terhadap J Navin Kumar, 27, dengan menyatakan akan membunuh dan membakar mangsa serta rumah mangsa pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili Peguam K Nahtan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,200 dan menetapkan 16 Julai depan sebagai sebutan semula kes.
Di kamar berasingan, tertuduh bersama tiga rakan lain mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Navin Kumar pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Navin bersama N Devid, 25, dan dua beradik lelaki, Musraf Mustafa, 22, Muhamad Yasir Mustafa, 21, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Dalam prosiding sama, tiga daripada tertuduh, Musraf, Muhamad Yasir dan Devid turut berdepan pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Dheeva Balan pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Bagi setiap kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N M Moganaraj Mithra manakala semua tertuduh diwakili peguam, G Harbhajan Singh.
Mahkamah membenarkan wang jaminan masing-masing RM800 setiap seorang bagi pertuduhan pertama dan RM500 bagi pertuduhan kedua serta menetapkan tarikh 14 Jun depan sebagai sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus, Musraf yang bekerja di bengkel besi buruk mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun.
Kesalahan didakwa dilakukan pada tempat, waktu dan tarikh sama itu dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh diwakili Nahtan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,200 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 23 Julai depan.