KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa mengkaji semula kelulusan pembukaan sebuah pasar raya di bangunan tapak letak kereta Perumahan Awam (PA) Desa Rejang di sini.
Naib Pengerusi Persatuan Penduduk PA Desa Rejang, Affa Syaripuddin berkata, perumahan tersebut sudah dilengkapi kemudahan pasar pagi dan kedai runcit di setiap blok untuk penduduk yang memerlukan barangan keperluan harian.
Menurutnya, pembukaan pasar raya di kawasan berkenaan dikhuatiri bakal menjejaskan hampir 60 peniaga kecil yang tidak dapat bersaing dengan perniagaan berskala besar itu.
"Kebanyakan peniaga telah berusia dan sekadar menjalankan perniagaan berskala sederhana. akan terjejas mata pencarian jika operasi pasar raya berkenaan diteruskan.
"Ia ibarat anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kelaparan jika DBKL membenarkan orang luar berniaga di dalam kawasan PA kerana bakal menutup periuk nasi peniaga kecil lain," katanya kepada Sinar Harian.
Baru-baru ini peniaga Desa Rejang telah berkumpul bagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan operasi pasar raya berkenaan.
Isu berkenaan juga telah dibawa kepada Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin melalui pertemuan yang diadakan di Menara DBKL 1 pada Rabu.
Affa berkata, cadangan pasar raya di lot kosong tersebut pernah dibuat dua tahun lalu namun ditangguhkan selepas menerima bantahan peniaga.
Katanya, mereka mencadangkan pembukaan pasar raya itu digantikan kepada operasi taska atau dewan kahwin bagi kemudahan penduduk Desa Rejang yang merupakan PA paling besar dalam negara.
"Lot ini kosong sejak bangunan tempat letak kereta siap pada 2020 dan kita pernah cadangkan dijalankan perkhidmatan taska atau dewan pengantin namun tidak dihiraukan pihak berwajib.
"Kemudahan tersebut merupakan satu keperluan memandangkan tempat ini mempunyai kira-kira 18,000 penduduk membabitkan 12 blok," katanya.
Katanya, peniaga kekal menolak cadangan operasi pasar raya di sana dan berharap isu tersebut mendapat campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!