Mekanisme pengurangan tol sedang dimuktamadkan: PLUS

Iklan
PLUS menerima keputusan pihak kerajaan untuk mengekalkan syarikat itu di bawah pemegang saham yang sedia ada.

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Bhd (PLUS) sedang berbincang dengan kerajaan untuk memuktamadkan skop dan mekanisme pengurangan kadar tol seperti yang diputuskan Kabinet minggu lepas memandangkan tarikh pelaksanaannya pada 1 Februari.

"Ini adalah bagi mengesahkan status perjanjian konsesi yang sedia ada serta mengambil kira kepentingan pemegang sukuk kami,” kata Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan
Iklan

Pemegang konsesi lebuh raya terbesar negara itu berkata, ia menerima keputusan kerajaan untuk mengekalkan syarikat tersebut di bawah pemegang saham sedia ada iaitu Khazanah Nasional Bhd/ UEM Group Bhd (51 peratus pegangan) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (49 peratus).

"PLUS terus komited untuk memberikan perkhidmatan lebuh raya terbaik serta perjalanan yang selamat dan selesa dengan memanfaatkan inovasi untuk rakyat,” kata syarikat itu.

Iklan

Pada 15 Januari, Kabinet memutuskan PLUS kekal dengan pemiliknya ketika ini dan tempoh konsesi akan dilanjutkan bagi tempoh 20 tahun lagi dari 2038 hingga 2058 dengan kadar tol dikurangkan sebanyak 18 peratus berkuat kuasa 1 Februari 2020.

Kadar tol itu akan terus dikekalkan sehingga tamat tempoh konsesi. - Bernama

Iklan