KUALA TERENGGANU - Khutbah Jumaat di Terengganu mengingatkan ibu bapa supaya menunaikan janji kepada anak kerana keperibadian mereka menjadi ikutan dan contoh kepada golongan itu.
Menurut khutbah yang disampaikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu, ibu bapa adalah contoh terbaik kepada anak-anak dan akhlak mereka banyak mempengaruhi perwatakan generasi tersebut.
"Sebagaimana yang biasa berlaku di dalam masyarakat kita, ada antara ibu bapa yang berjanji kepada anak-anak tetapi tidak menunaikannya dengan baik.
"Perbuatan sedemikian menjadikan anak-anak menganggap bahawa janji itu biasanya tinggal janji sahaja dan tidak mempunyai apa-apa pengertiannya," katanya menerusi satu kenyataan.
Berdasarkan khutbah tersebut, perbuatan tidak menunaikan janji kepada anak tidak sepatutnya berlaku kerana ibu bapa merupakan model dan pencorak keperibadian mereka.
"Islam sangat mengambil berat mengenai janji, oleh itu berhati-hatilah sebelum berjanji dan jadikanlah perkataan Insya-ALLAH itu sebagai azam yang kuat ke arah menyempurnakan dan menunaikan janji yang dijanjikan.
"Jadikanlah diri kita orang-orang yang bertakwa dan penuh amanah, bukannya orang yang memungkiri janji yang tergolong dalam kalangan orang 'munafiqin'," ujarnya.
Sementara itu, khutbah kedua pula menekankan mengenai berbakti kepada ALLAH SWT dengan sepenuh hati dan memanfaatkanlah peluang dalam kehidupan ini dengan melakukan ketaatan untuk mendapat keredaan-Nya.
"Umat Islam mengambil peluang melakukan amal kebaikan seperti berniat iktikaf ketika berada dalam masjid, mengambil pengajaran daripada kandungan khutbah Jumaat, berzikir serta menunaikan solat Jumaat dengan tertib dan khusyuk.
"Janganlah melakukan perkara yang boleh mengganggu jemaah lain sepanjang berada di masjid, kerana perbuatan tersebut dilarang dalam Islam," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!