PEMAIN boling wanita negara, Sin Li Jane merangkul gelaran ketiganya dalam siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Menurut laman web rasmi PWBA, pemain berusia 32 tahun itu muncul juara Greater Nashville Classic di Pusat Boling Smyrna, Tennessee selepas menewaskan Cherie Tan dari Singapura 257-208 dalam aksi final.
Sebagai satu-satunya pemain yang memenangi dua gelaran musim ini, Li Jane kini mendahului dalam saingan Anugerah Pemain Terbaik PWBA setelah menjuarai Terbuka Journal Rockford pada 11 Mei.
"Cherie merupakan lawan yang hebat. Saya tahu bila-bila masa sahaja akan berdepan dengannya. Pada masa itu markah pasti tinggi dan perlawanan akan sengit. Saya hanya fokus untuk menghasilkan lontaran yang terbaik.
"Meraih gelaran (Pemain Terbaik PWBA) sudah tentu sesuatu yang hebat, namun saya tidak memikirkan sangat tentang itu. Jika ia benar-benar berlaku, ia sudah tentu luar biasa," katanya dipetik dalam laman web PWBA.
Kemenangan pertama Li Jane dalam aksi Jelajah PWBA yang kompetitif itu ialah pada 2017 apabila dia meraih gelaran Terbuka Lincoln.
Pemenang pingat emas acara berpasukan Kejohanan Boling Wanita Dunia 2017 itu juga pernah meraih naib juara pada Terbuka Greater Detroit PWBA 2016, Terbuka Wichita PWBA 2017 dan USBC Queens 2019. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!