JOHOR BAHRU - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.
Baginda bertitah, tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang dan mahu tindakan mengikut undang-undang diambil demi memberi keadilan kepada mangsa.
"Merujuk kepada kejadian yang berlaku di St Regis Hotel Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024 (Selasa), saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera saya menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.
"Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.
Baginda bertitah lagi, tindakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden terbabit adalah tidak wajar.
"Justeru, saya menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
"Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar," titah baginda.
Pada Rabu media melaporkan, pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa telah dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa, telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, individu berkenaan, yang juga orang kurang upaya (OKU), telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.
Rusdi dalam kenyataan yang sama berkata, Polis Kuala Lumpur telah menerima satu laporan polis, pada 28/05/2024 jam lebih kurang 1.00 petang oleh pengadu yang merupakan seorang pemandu e-hailing.
Beliau berkata pengadu tersebut mendakwa telah diserang oleh seorang individu yang merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!