Persetujuan China lanjut pengecualian tempoh visa, iktiraf tawaran Malaysia - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) ketika ditemui media Malaysia selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Dongsi hari ini. Foto Bernama

BEIJING - Persetujuan China untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa kepada pelancong Malaysia dari 15 ke 30 hari, merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia yang memberikan tawaran tempoh sama kepada pelancong dari republik berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya fikir ini satu pengiktirafan kepada apa yang telah kita tawarkan kepada pelancong China yang datang ke Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Dongsi, di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Ahmad Zahid berkata, lanjutan tempoh pengecualian visa kepada pelancong Malaysia itu juga mendapat persetujuan daripada Penasihat Negara serta Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong, namun perkara itu akan dibincangkan secara lebih lanjut dalam kunjungan hormat beliau ke atas Xiaohong, pada petang ini.

"Kelulusan (berkaitan tempoh pengecualian tempoh visa kepada pelancong Malaysia itu) sudah sampai kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Wisma Putra.

Iklan

"Pelaksanaannya akan berkuat kuasa sebaik sahaja penandatangan perjanjian antara Menteri Keselamatan Awam dan Menteri Dalam Negeri, yang dijangka pada minggu pertama Jun ini,” kata Ahmad Zahid.

Terdahulu, beliau mengumumkan China bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa untuk pelancong dari Malaysia daripada 15 ke 30 hari dan ia telah mendapat persetujuan Perdana Menteri China Li Qiang semasa mengadakan kunjungan hormat, pada Rabu.

Iklan

Mengenai sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China hari ini, Ahmad Zahid berharap supaya hubungan dua hala itu berkekalan, malah lebih dieratkan melalui jalinan kerjasama kerajaan kepada kerajaan (G2G), perniagaan kepada perniagaan (B2B) serta rakyat kepada rakyat (P2P) untuk tempoh lima dekad akan datang.

"Tetapi lebih penting ialah keakraban kita antara dua negara ini yang telah bersahabat sejak abad ke-13, abad ke-15 dan hingga kini. Mudah-mudahan hubungan ini akan diterjemahkan sebaik-baiknya oleh rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan rasmi ke China sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan itu atas jemputan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 dan ini merupakan lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!