SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang didapati terlibat berhubung kejadian seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa dipukul di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pegawai-pegawai yang terlibat dalam insiden itu akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.
Menurutnya, polis akan memastikan penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan semua pihak terlibat dapat memberikan keterangan.
"Keutamaan dalam setiap siasatan adalah memastikan bahawa tiada pelaku yang terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan dilakukan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pihaknya sentiasa komited dalam memelihara integriti dan memastikan bahawa tindakan yang sewajarnya diambil untuk mempertahankan keadilan serta melindungi hak-hak individu yang terjejas, terutama golongan OKU.
Terdahulu, seorang pemandu e-hailing membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal peribadi ketika menunggu penumpang di hotel berkenaan.
Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di bahagian kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!