SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diarah hadir ke prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (RCI Batu Puteh) pada 12 Jun depan.
Ujar Dr Mahathir, sapina untuk menghadirkan diri bagi memberi keterangan dalam isu itu diterima pada Jumaat.
Beliau bagaimanapun meminta prosiding itu diadakan secara terbuka bagi memberi orang awam mengikuti sepenuhnya.
"Saya akan hadir kerana diarahkan untuk berbuat demikian. Sebelum ini saya sendiri telah meminta untuk hadir di sepanjang prosiding yang bermula sejak 21 Mei lalu.
"Saya dan peguam menjangkakan kami akan dipanggil untuk menghadiri prosiding tersebut sepanjang ia dijalankan kerana saya merupakan pihak yang berkait dengan perkara yang dibincangkan oleh RCI itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Dr Mahathir mendakwa prosiding tersebut dilakukan secara bersembunyi tanpa melibatkan kehadiran beliau dan peguamnya.
Ujarnya, prosiding berkenaan didakwa dilakukan secara tertutup dan rahsia pada 21 Mei lalu tanpa sebarang pemakluman kepada mana-mana pihak.
Dalam pada itu jelas Dr Mahathir, menurut peruntukan undang-undang, beliau dan peguam wajib hadir mengikuti prosiding itu sepenuhnya.
"Seperti dimaklumkan oleh peguam saya, perkara itu berasaskan dengan peruntukan undang-undang di dalam Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang mewajibkan saya atau peguam saya hadir sepanjang prosiding itu berjalan sehingga selesai.
"Selain itu, saya sangat berharap supaya RCI ini diadakan secara terbuka dan orang awam dapat mengikuti prosiding sepenuhnya. Ini kerana sebelum ini pelbagai tohmahan dan tuduhan telah dituju kepada saya secara terbuka dan mendapat laporan media secara meluas.
"Tuduhan tersebut dibuat termasuk oleh ahli Jemaah Menteri sekarang bahawa saya membuat keputusan secara sembunyi dan sendirian. Jika semua tohmahan ini dibuat secara terbuka kenapakah jawapan dan penerangan saya perlu dibuat secara tertutup," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Dr Mahathir menegaskan semua keputusan dibuat setelah mendapat nasihat peguam dan pakar perundangan.
Ujar beliau, kehadiran ke prosiding berkenaan juga penting bagi mengetahui keberadaan individu lain yang turut terlibat.
"Saya tekankan sekali lagi bahawa kesemua keputusan yang saya buat adalah setelah mendapat nasihat dan pandangan daripada peguam dan pakar perundangan dalam serta luar negara termasuk yang dilantik oleh kerajaan terdahulu yang mahu isu Pulau Batu Puteh dirayu semula.
"Selain itu, sebelum keputusan dibuat, saya telah bawa isu ke Kabinet. Terdapat ahli-ahli Kabinet ketika itu telah dilantik semula ke dalam Kabinet kerajaan pada hari ini.
"Saya atau peguam perlu hadir untuk mengetahui adakah kesemua yang terlibat di dalam membuat keputusan dipanggil, jika tidak mengapa dan jika ada, apakah yang mereka perkatakan. Jika tidak, objektif RCI sebagai satu usaha 'fact finding' agak pincang dan tersasar dari keadilan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!