TEMERLOH - BN perlu berfikir di luar kotak untuk mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam PRK tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyifatkan tindakan itu perlu dilakukan untuk menampilkan calon boleh diketengahkan berikutan situasi yang berlaku kini.
"Kita bukan lagi parti memerintah jadi kena fikirkan bagaimana cara untuk memenangi semula terutama kerusi di Parlimen milik kita (BN).
"Dan MIC sendiri memberikan laluan kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang boleh diterima penduduk tempatan dan keputusan ini dibuat selepas hasil perbincangan,"katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau mengulas sedemikian selepas BN hari ini mengumumkan bekas Penolong Pesuruhjaya Polis Asisten Komisioner Ramli Md Noor untuk menjadi calon BN di Parlimen terbabit.
Beliau menyifatkan pemilihan calon tempatan yang juga Orang Asli membuktikan BN tidak meminggirkan golongan minoriti.
"Ini satu penghormatan tertinggi dan kebetulan di Cameron Highlands ada 22 peratus pengundi Orang Asli dan beliau sendiri beragama Islam serta dikenali penduduk tempatan .
"Jadi ia satu kelebihan dan bila dicampurkan dengan jumlah pengundi Melayu ia menjadi kira-kira 57 peratus," katanya lagi tindakan Pas tidak bertanding memperlihatkan kerjasama antara dua parti utama orang Melayu.
Jelasnya, walaupun BN bertanding sebagai parti"underdog" namun ia tidak menghalang parti itu untuk berusaha semampu mungkin untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
"Dan kita menyeru kepada semua pengundi di Cameron Highlands menilai sepanjang tempoh sembilan bulan pemerintahan kerajaan yang ada dan membuat pilihan tepat," ujarnya.