KPKM perkasa pengeluaran makanan

Iklan
Arthur melihat stok simpanan beras semasa mengadakan lawatan kerja di Tawau, Sabah pada 23 Mei 2024.

Arthur melihat stok simpanan beras semasa mengadakan lawatan kerja di Tawau, Sabah pada 23 Mei 2024.


SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memperkasa sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara melalui pelbagai pendekatan serta inisiatif sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.

Merujuk kepada bekalan beras di wilayah Sabah dan Sarawak, Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup menegaskan, rakyat di kedua-dua negeri itu tidak perlu bimbang isu kekurangan bahan makanan ruji itu khususnya semasa sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Iklan
Iklan

Ini kerana katanya, KPKM menerusi Kawalselia Padi dan Beras (KPB) telah mengambil langkah intervensi awal bagi memastikan bekalan mencukupi di kedua-dua negeri itu dan dijual pada harga berpatutan meskipun permintaan meningkat.

Malah, usaha itu katanya turut selari dengan perjanjian konsesi di antara Kerajaan dengan Syarikat Padiberas Nasional Berhad yang bermula pada tahun 2021 hingga 2031.

Iklan

"Malah, stok semasa beras negara untuk keperluan (rakyat) di dua wilayah itu termasuk Semenanjung mencukupi sehingga tempoh lima bulan akan datang.

"Setakat 14 Mei, stok semasa beras negara ialah sebanyak 1,037,381 tan metrik meliputi 200,000 tan metrik stok penimbal beras kerajaan dan 837,381 tan metrik stok dagangan.

Iklan

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 57,500 tan metrik simpanan stok kerajaan ditempatkan di gudang-gudang Bernas di Sabah, manakala 33,000 tan metrik di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan sempena lawatan kerja meninjau simpanan stok beras di Tawau pada Sabtu.

Arthur mengadakan lawatan kerja serta mengadakan program jaminan bekalan makanan di Sabah selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Mei.

Intervensi

Arthur (tiga dari kanan) menunjukkan buah-buahan segar yang dijual dalam Karnival Jualan Agro MADANI Mega di Tawau, Sabah.


Pada masa sama, kerajaan turut melaksanakan langkah-langkah intervensi lain bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga beras menerusi penyaluran subsidi sebanyak RM950 per tan metrik bagi Beras Putih Import (BPI) mulai 5 Oktober 2023.

Malah, sehingga 31 Mac 2024, sebanyak 111,478 tan metrik BPI telah dibekalkan di Sabah dengan peruntukan subsidi berjumlah kira-kira RM23.75 juta sebulan.

Selain itu, kerajaan juga turut menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dari RM360 kepada RM500 pada Ogos 2023 serta harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak telah diseragamkan dengan Semenanjung kepada kadar RM1,300 per tan metrik pada Februari 2024.

Selain itu, Kerajaan Perpaduan melalui KPKM dengan kerjasama kerajaan negeri sedang berusaha meningkatkan kadar sara diri (SSR) beras negeri Sabah seiring tema Pesta Kaamatan 2024 iaitu ”Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan’.

Bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi, Program SMART Sawah Berskala Besar (SBB) Ala Sekinchan turut diperkenalkan di Kampung Kesapang Tengah, Kota Belud dengan keluasan 27.81 hektar secara mekanisasi dan automasi melibatkan 15 peserta yang dijangka bermula pada Julai 2024.

Penggunaan tanah optimum

Arthur memperlihatkan bekalan telur ayam segar yang dijual kepada orang ramai dengan harga berpatutan sempena Karnival Jualan Agro MADANI Mega di Tawau.


Dalam perkembangan lain, Arthur turut memberitahu bahawa KPKM bersama kerajaan negeri Sabah turut melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan pada tahun 2024 dengan mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan pertanian dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM150 juta.

"Bagi wilayah Sabah, KPKM telah meluluskan RM19.3 juta untuk pelaksanaan empat projek penghasilan makanan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM15 juta disalurkan untuk projek ternakan lembu yang dijalankan oleh anak syarikat kerajaan negeri, Sawit Kinabalu Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah,” jelas Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

Tambah beliau, usaha itu mencerminkan tindakan proaktif KPKM menyokong usaha kerajaan negeri Sabah meningkatkan pengeluaran komoditi daging lembu daripada 7.57 peratus pada tahun lalu kepada 25 peratus menjelang tahun 2030.

"Melihat kepada fasiliti dan infrastruktur di Sawit Kinabalu, saya yakin sasaran pengeluaran daging tahunan sebanyak 1,268 tan metrik atau 5,513 ekor setahun dapat dicapai,” ujarnya yang berharap lebih ramai golongan muda menceburi bidang ternakan.

Kos sara hidup

Seorang usahawan FAMA (tiga dari kiri) menerima bantuan menaik taraf produk yang disampaikan oleh Arthur (tiga dari kanan).


Sementara itu, dalam isu peningkatan kos sara hidup khususnya golongan kumpulan pendapatan B40 M40, KPKM jelas Arthur turut melaksanakan program Jualan Ago MADANI (JAM).

JAM katanya mampu menyumbang kepada pengurusan perbelanjaan seimbang kepada golongan berkenaan dengan memudahkan mereka mendapatkan bekalan makanan segar secara terus tanpa orang tengah pada kadar harga yang berpatutan.

"JAM ini telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang. Setakat 12 Mei lalu, program ini telah dilaksanakan di 2,745 lokasi di seluruh negara dengan nilai jualan RM56.55 juta.

"Malah, kira-kira 31,442 usahawan tempatan turut serta dalam JAM selain memberi pulangan penjimatan perbelanjaan rakyat sebanyak RM16.8 juta,” kata Arthur yang turut merasmikan Karnival JAM Mega Tawau dan dihadiri Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkipli.

Tambah beliau, JAM akan diperluaskan dengan sasaran 5,000 sesi jualan sehingga Oktober tahun ini.

Pada tahun 2023, JAM mencatatkan nilai jualan RM93.74 juta dengan sesi jualan di 5,608 lokasi di seluruh negara melibatkan 74,841 usahawan.