PONTIAN - Penduduk Kampung Parit Baru, Kayu Ara Pasong dekat sini, dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah kereta Toyota Vios, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib berkata, laporan mengenai penemuan mayat di dalam sebuah kereta di hadapan reban ayam itu diterima pada jam 12.45 tengah hari.
"Hasil siasatan awal yang dijalankan, mendapati mayat lelaki tempatan berusia 31 tahun yang berada di kerusi pemandu itu dipercayai telah mati beberapa hari. Ia berdasarkan keadaan mayat yang sudah mengalami proses pereputan.
"Siasatan awal juga mendapati si mati merupakan orang yang pernah dilaporkan hilang sejak 21 Mei lalu. Pihak keluarga telah dimaklumkan tentang kejadian dan diminta hadir ke Hospital Pontian untuk pengecaman. Mayat telah dihantar ke Hospital Pontian untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Mohamad Shofee, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, diminta menghubungi terus talian Hotline IPD Pontian 07-6869999," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba, Azhar Abd Jalil berkata tujuh anggota dihantar bagi membantu mengeluarkan mayat dari kereta tersebut.
Sebelum itu, video berdurasi satu minit 50 saat mengenai penemuan mayat tersebut tular di media sosial.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!